Rabu, 15 Mei 2019 | 6:30pm
PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero. - Foto Reuters

Aguero nafi 'kutuk' Messi

LONDON: Penyerang Manchester City, Sergio Aguero menafikan laporan yang memetiknya berkata tiada siapa di antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo layak untuk memenangi Ballon d’Or tahun ini.

Pemain bintang Argentina itu sebelum ini dilaporkan berkata pemenang anugerah berprestij itu sepatutnya pemain daripada dua pasukan, Liverpool dan Tottenham yang akan berentap di final Liga Juara-Juara.

Justeru bagi memperbetulkan keadaan, dia menggunakan laman sosial Twitter, semalam bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Saya tidak gemar untuk keluar dan memberi penjelasan tetapi apabila ada kata-kata yang mengaitkan dengan diri saya, saya perlu melakukannya,” kata Aguero.

“Untuk menjelaskannya, saya sentiasa memberi jawapan yang sama, ketika Messi terus bermain, dan terutama apabila dia bermain pada musim ini, dia layak untuk memenangi Ballon d’Or.”

Aguero begitupun adalah rakan sepasukan Messi dalam skuad kebangsaan Argentina selama lebih sedekad dan diketahui mempunyai hubungan rapat dengan bintang Barcelona itu.

Tahun lalu, Messi dan Ronaldo tidak memenangi anugerah berkenaan yang menjadi milik pemain tengah Real Madrid, Luka Modric.

Selain menjuarai Liga Juara-Juara bersama Real, Modric turut membantu pasukan negaranya muncul naib juara di Piala Dunia Russia sekali gus memecah dominasi Messi dan Ronaldo yang memenangi anugerah berkenaan sejak 2007. - Agensi

 

 

Berita Harian X