Rabu, 15 Mei 2019 | 7:14am
Griezmann akan meninggalkan kelab itu pada penamat musim. - Foto Reuters

Griezmann ambil keputusan tinggalkan Atletico

MADRID: Penyerang Perancis, Antoine Griezmann memberitahu Atletico Madrid bahawa dia akan meninggalkan kelab itu pada penamat musim, kata kelab Sepanyol itu menerusi Twitter hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu memiliki kontrak hingga 2023 bersama Atletico, tetapi memiliki klausa pembelian semula 120 juta euro (RM560 juta) dan beberapa kali menjadi sasaran pencabar La Liga, Barcelona.

“Antoine Griezmann memberitahu kelab bahawa dia tidak akan terus bersama Rojiblanco (warna kelab, merah dan putih) musim depan,” kata kelab itu di Twitter.

Tidak lama selepas itu pemain itu mengeluarkan video menerangkan keadaan itu.

“Selepas berckap dengan Cholo (jurulatih kelab Diego Simeone), kemudian bersama Miguel Angel dan mereka yang menjadi pengurusan tertinggi kelab, saya mahu bercakap dengan anda, penyokong, yang sentiasa menyayangi saya,” kata Griezmann.

“Saya mahu memberitahu anda bahawa saya sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab ini,” kata juara Piala Dunia 2018 bersama Perancis itu.

“Saya melalui lima musim yang hebat di sini dan anda sentiasa berada di hati saya,” kata penyerang itu.

“Sebenarnya memang sukar untuk memilih jalan ini tetapi itulah yang saya rasa saya perlukan dan saya berterima kasih kepada sokongan anda sepanjang lima tahun saya di sini.” - AFP

Berita Harian X