Isnin, 13 Mei 2019 | 2:01pm
Ketua Jurulatih Pahang FA, Dollah Salleh. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Misi getir Tok Gajah di Larkin

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui tugas getir menenti skuad itu apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Biarpun skuad Tok Gajah melakar kemenangan besar membenam Terengganu FC (TFC) 4-0 pada suku akhir kedua Piala FA Jumaat lalu, beliau mahu anak buahnya berhati-hati dengan corak taktikal digunakan skuad Harimau Selatan pada perlawanan itu nanti.

"Bertandang ke gelanggang mereka (JDT), sudah pasti menjadi cabaran yang sangat besar kepada kami dan saya sudah maklumkan kepada semua pemain supaya memberikan fokus sepenuhnya dan bermain dengan penuh bersemangat.

"Kunjungan ke Larkin adalah tugas berat dan memandangkan kita ketinggalan lima mata, sudah tentu kita mahukan kemenangan selepas sekadar seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

"Saya harap kemenangan ke atas TFC Jumaat lalu menjadi pencetus semangat kepada pemain menunjukkan prestasi konsisten mereka," katanya.

Ditanya mengenai kecederaan dialami penyerang import, Dickson Nwakaeme, Dollah berkata, pemain dari Nigeria itu berkemungkinan besar dapat disenaraikan dalam aksi malam esok.

"Memang dia (Nwakaeme) mengalami kecederaan ketika beraksi Jumaat lalu, tapi saya rasa dia boleh kembali bersama skuad Tok Gajah malam esok.

"Kita perlukan khidmat dia dalam perlawanan penting seperti menentang JDT ini, dan kita boleh nampak kesan dan impak dibawa pemain itu ketika aksi suku akhir kedua Piala FA.

"Kalau boleh, saya mahu Nwakaeme ada dalam senarai kesebelasan utama skuad Tok Gajah (malam) esok dan menerajui jentera serangan," katanya.

Selepas 12 perlawanan, skuad Tok Gajah kekal di tempat kedua dengan 25 mata ketinggalan lima mata di belakang skuad Harimau Selatan. 

#kw Dollah, Pahang, Liga Super

Berita Harian X