Isnin, 13 Mei 2019 | 8:25am
Pengendali Liverpool, Juergen Klopp, bersama pemainnya, Trent Alexander-Arnold, selepas tamat perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers pada penutup musim Liga Perdana Inggeris malam tadi. - Foto Reuters

Liverpool perlu lebih sempurna - Klopp

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool Juergen Klopp kagum dengan pencapaian cemerlang pasukannya musim ini tetapi berkata mereka perlu menghampiri kesempurnaan untuk merampas kejuaraan liga daripada Manchester City musim depan.

Liverpool menamatkan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield tetapi City bangkit menewaskan Brighton & Hove Albion 4-1 untuk mengekalkan kelebihan satu mata ke atas skuad kendalian Klopp di puncak liga.

Pengendali dari Jerman itu berkata pasukannya, yang hanya tewas sekali dalam kempen Liga Perdana Inggeris kali ini, akan bersedia untuk cabaran musim berikutnya sambil menjangkakan City juga akan berada pada prestasi sama atau semakin baik.

“Selagi City masih ada dengan kualiti mereka, kekuatan serta sokongan kewangan, tidak mudah bagi pasukan lain untuk memintas mereka. Itu jelas sekali,” kata Klopp.

“Jadi kami perlu menjadi hampir sempurna untuk memenangi Liga Perdana.”

Klopp, yang mengambil alih Liverpool pada tahun 2015, berkata dia amat pasti yang musim ini, berdasarkan kemajuan pasukannya, adalah yang terbaik mampu dicapai kelab Merseyside itu.

“Kami mengambil langkah besar yang luar biasa dan saya jangka lebih banyak mampu dicapai, apa hasil di penghujungnya saya tidak tahu.

“Orang akan berkata sudah 30 tahun atau apa saja, tetapi secara jujurnya mereka atau kelab yang berkata begitu, mempunyai masalah lebih besar. Kami akan terus mencuba,” katanya.

Menurut Klopp ini adalah kali pertama kelab Anfield itu benar-benar bersaing untuk kejuaraan liga sejak dia mengambil alih pasukan berdasarkan kutipan mata, dan mereka juga berjuang untuk mara ke final Liga Juara-Juara bertemu Tottenham Hotspur pada 1 Jun. – REUTERS

1411 dibaca
Berita Harian X