Isnin, 13 Mei 2019 | 7:31am
Penyerang Barcelona, Lionel Messi menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Gatafe, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Barca lepas geram pada Getafe

MADRID: Barcelona bangkit daripada kekecewaan Liga Juara-Juara manakala harapan Getafe untuk layak ke kejohanan itu mungkin berakhir selepas tewas 2-0 di Camp Nou.

Jaringan Arturo Vidal dan gol sendiri Djene Dakonam menyaksikan Barca bangkit daripada kekalahan memeritkan di tangan Liverpool, walaupun luka masih mendalam buat penyokong mereka.

“Ia perlawanan yang sukar buat kami semua,” kata Sergio Busquets. “Kami cuba mengubati luka yang amat besar.”

Getafe yang berharap lawan mereka masih dibelenggu kekecewaan, sebaliknya tercicir daripada kelompok empat teratas dengan hanya satu perlawanan berbaki, selepas Valencia menewaskan Alaves 3-1.


Pemain Barcelona, Arturo Vidal (kiri) dihalang pertahanan Gatafe, Djene Dakonam pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Kami tewas tetapi saya bangga,” kata pengendali Getafe Jose Bordalas. “Kami perlu menang perlawanan terakhir kami dan kita lihat nanti.”

Valencia kini melonjak ke tangga keempat, menyamai kutipan mata Getafe tetapi mempunyai kelebihan berdasarkan rekod pertemuan antara mereka. Mereka akan bertemu Real Valladolid pada perlawanan terakhir manakala Getafe menentang Villareal.

Kemenangan Barcelona meletakkan mereka 11 mata di depan Atletico Madrid yang diikat 1-1 oleh Sevilla, dan 18 mengatasi Real yang tewas 3-1 kepada Real Sociedad.

Jika berjaya menewaskan Valencia pada final Piala Raja Sepanyol 25 Mei ini, Barca akan meraih gelaran domestik berganda buat kali kedua berturut-turut, walaupun ia masih tidak dapat mengubat luka di Anfield. – AFP

 

813 dibaca
Berita Harian X