Sabtu, 11 Mei 2019 | 2:16pm
EDEN Hazard. - Foto Reuters

Peluang terakhir Chelsea 'pikat' Hazard

LONDON: Maurizio Sarri tidak yakin kejayaan Chelsea menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat terbaik, layak ke Liga Juara-Juara dan final Liga Europa berupaya untuk mengekalkan Eden Hazard di Stamford Bridge.

Hazard tampak terdesak untuk menyertai Real Madrid yang digambarkan sebagai ‘perpindahan impian’ dan membenarkannya dibimbing idola, Zinedine Zidane.

Chelsea akan meminta 130 juta euro  (RM607.47 juta) untuk Hazard tetapi gergasi Sepanyol itu cuba membuat tawaran sehingga 100 juta euro (RM467.28) dengan baki kontrak pemain berusia 28 tahun itu hanya tinggal setahun.

Pengurusan kelab boleh memaksa pemain kelahiran Belgium itu untuk terus beraksi selama setahun tetapi mereka berisiko kehilangannya secara perpindahan percuma.

Peluang terbaik untuk Hazard kekal adalah menjadikannya pemain menerima gaji tertinggi di kelab itu dan menerima £300,000 (RM1.62 juta) seminggu tetapi Sarri percaya kejayaan memenangi Liga Europa boleh mengubah fikiran pemain tonggaknya itu.


MAURIZIO Sarri. - Foto Reuters

“Saya tidak tahu. Jika Hazard berfikir sejarahnya di sini sudah berakhir, jadi di mindanya ia sudah berakhir. Saya boleh cuba untuk bercakap dengannya tetapi ia tidak mudah,” kata Sarri.

“Ia tidak mudah kerana sudah tentu, saya mahukan Hazard, tetapi saya mahu Hazard dengan tahap motivasi yang amat tinggi. Kamu perlu bertanya kepada kelab kerana saya tidak mengawal pasaran.

“Saya juga tidak berkuasa terhadap pembaharuan kontrak jadi saya tidak boleh menjawabnya. Saya hanya boleh bercakap kepada pemain seperti seorang ayah, bukan seperti pengurus. Dan jika saya bercakap dengannya, saya tidak akan memberitahu kami apa-apa. Ia perbincangan di antara ayah dan anak.” - Agensi

1213 dibaca
Berita Harian X