Sabtu, 11 Mei 2019 | 10:21am
JURGEN Klopp

Klopp hanya fokus atasi Wolves

LIVERPOOL: Jurgen Klopp menyatakan kebangkitan yang ditunjukan Liverpool di Liga Juara-Juara membuktikan betapa mereka tidak mudah mengalah dalam perebutan gelaran liga biarpun perlu menunggu hingga minit akhir bersama Manchester City dalam perlawanan liga yang berlangsung serentak esok. (jam 10 malam waktu Malaysia).

Anak buah Klopp merakam kebangkitan terbesar dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Selasa lalu apabila menyingkirkan Barcelona 4-0 biarpun ketinggalan 3-0 pada aksi pertama.

Dengan final Liga Juara-Juara bakal menentang Tottenham 1 Jun ini, Liverpool mampu mengerah segenap kudrat terbaik mereka untuk menamatkan kemarau gelaran sejak kali terakhir menjulangnya pada 1990.

The Reds menunggu kunjungan Wolves di Anfield dengan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

City akan mengekalkan gelaran liga jika menang ke atas Brighton tetapi jika terikat atau kalah bermakna Pep Guardiola membuka ruang buat Liverpool menjulang piala jika mereka menewaskan Wolves.

Meskipun menentang Brighton pasti memihak kepada City, namun Klopp menyatakan semangat yang dipamerkan Liverpool minggu ini membuktikan bahawa semua keajaiban bola sepak boleh berlaku jika tekanan terlalu tinggi dihadapi mereka.

Kejayaan bukan setakat dilakar Liverpool bahkan Tottenham turut meledak tiga kali untuk menyingkirkan Ajax biarpun mereka ketinggalan 3-0 menerusi agregat dengan berbaki 35 minit perlawanan di separuh akhir kedua yang berlangsung di Amsterdam.

"Ia minggu yang besar dalam sejarah bola sepak. Tetapi minggu ini, ada detik lebih besar dan ia belum berakhir,” kata Klopp.

"Saya rasa pada permulaan minggu ini semua orang menjangkakan saya akan duduk di sini sambil berkata OK, tanpa final Liga Juara-Juara, sukar untuk jadi juara. Baiklah, kami sekarang sudah ke final dan ia tetap sukar.

"Kami memang tidak biasa dengan suasana menyambut kejayaan, tetapi kami menang satu perlawanan ke satu perlawanan. Fokus bukan satu masalah. Apa yang kami boleh lakukan ialah menang perlawanan ini.”

Jika dibandingkan dengan musim terdahulu, Liverpool, yang kini mengumpul 94 mata dan hanya tewas sekali sewajarnya sudah menjulang piala ketika ini.

Apapun, di sebalik kehebatan jentera serangan Liverpool yang mencipta sejarah kehebatan baharu, namun hakikatnya mereka perlu bantuan Brighton untuk muncul juara esok.

Tetapi Klopp dan anak buahnya tidak perlu diberitahu mengenai percaturannya.

Klopp mengesahkan bahawa kempen terakhir esok tiada masalah apabila Mohamed Salah, Andy Robertson dan Jordan Henderson akan dikerah merobohkan benteng Wolves.

Salah terlepas aksi menentang Barcelona akibat kecederaan kepala, Henderson (lutut) dan Robertson (pinggang) yang kedua-duanya cedera ketika aksi berkenaan.

"Perkataan paling terkenal di bilik persalinan minggu ini ialah ‘ia hanya kesakitan’. Ia sangat penting untuk dipelajari pemain muda,” kata Klopp.

Yang pasti, penyokong Liverpool akan tertumpu kepada telefon pintar masing-masing untuk mengetahui keputusan di Brighton esok biarpun Klopp menyatakan mereka hanya mahu memberi fokus kepada pertembungan berdepan Wolves.

"Mungkin penyokong kami tidak dapat meraikan kemenangan sebelum ia mencecah 3-0 kepada Brighton dan perlu menunggu minit ke-87 atau minit ke-88, selebihnya hanya menunggu maklumat.

"Ini kerana kedua-dua pasukan perlu menang perlawanan terakhir. Ia tidak pasti (apa yang terjadi) setakat ini, jadi kami perlu fokus untuknya,” kata Klopp. – AFP

671 dibaca
Berita Harian X