Khamis, 9 Mei 2019 | 11:42pm
David Beckham. - Foto AFP

Beckham digantung 6 bulan daripada memandu

LONDON: Bekas kapten pasukan bola sepak England, David Beckham digantung selama enam bulan daripada memandu selepas mengaku bersalah menggunakan telefon bimbit ketika melakukan pemanduan, lapor BBC.

Beckham yang pernah beraksi bersama Manchester United dan Real Madrid, mengaku melakukan perbuatan itu ketika memandu kenderaannya jenama Bentley melalui pusat kota raya ini pada November tahun lalu, kata BBC lagi.

Beliau yang kini berusia 44 tahun dijatuhkan hukuman itu oleh Mahkamah Majistret Bromley.

Beckham yang terkenal dengan kebolehan melakukan sepakan percuma menakjubkan, menjadi kapten pasukan England sebanyak 59 kali dan berjaya menjaringkan gol dalam tiga penyertaan Piala Dunia sebelum bersara daripada tugasan antarabangsa pada 2009.

Dia juga pernah beraksi bersama kelab LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint Germain sebelum berhenti bermain pada 2013. Beliau berkahwin dengan bekas ahli kumpulan terkenal Spice Girl, Victoria Beckham yang kini menjadi pereka pakaian mewah. - REUTERS

Berita Harian X