Rabu, 8 Mei 2019 | 10:53pm
PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (kiri) diasak pemain Kashima Antlers FC, Hiroke Abe pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Jaringan Syafiq malukan Kashima Antlers

JOHOR BAHRU: Penyerang Syafiq Ahmad muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila jaringan tunggalnya pada babak kedua sudah cukup memalukan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Walaupun menang dalam aksi itu, peluang JDT untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik tampak sukar selepas Shandong Luneng FC dari China menewaskan Gyeongnam FC dari Korea Selatan 2-1 dan JDT perlu berdepan kelab dari Korea Selatan itu pada aksi terakhir di gelanggang lawan 22 Mei nanti.

Kashima Antlers yang juga wakil dari Jepun pula berdepan laluan berliku dan perlu menang apabila berdepan kelab dari China itu jika mengidam slot ke pusingan seterusnya.

Dalam perlawanan itu, rombakan kecil dilakukan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora selepas menyenaraikan Syafiq mengemudi jentera serangan bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang digantung satu perlawanan.

Tuan rumah tampak bermula dengan corak permainan berhati-hati tanpa mahu melakukan sebarang kesilapan sambil menyusun strategi mengasak ke kubu lawan dengan menguji penjaga gol, Kwoun Suntae pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma Safawi Rasid.


PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Kashima Antlers pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Skuad kendalian Go Oiwa juga tidak mahu melepaskan peluang mengasak ke kubu tuan rumah apabila bola rembatan deras Leo Silva pada minit ke-13 berjaya ditepis penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan bagi mengelak gawang dibocori.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-38 apabila bola rembatan Nazmi Faiz Mansor hampir memerangkap Suntae namun penjaga gol Kashima Antlers sempat menutup ruang untuk menolak keluar bagi mengelak bola menerjah jaring.

Kashima Antlers melepaskan peluang terhidang pada minit ke-40 apabila bola sepakan lintang kapten Endi Yasushi yang bergerak di posisi sayap kiri gagal disudahi dengan kemas Sho Ito yang sekadar merembat bola melepasi palang gol ketika Izham Tarmizi sudah tertewas.

Pada babak kedua, pelawat mula menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan namun kekentalan benteng pertahan tuan rumah diterajui Mauricio Nascimento dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang beberapa gerakan berbahaya lawan.

Tuan rumah melakar kejutan ke atas juara bertahan itu selepas memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-69 apabila Syafiq secara solo menyusup masuk ke dalam kotak penalti biarpun cuba diapit dua pertahanan lawan namun bingkas melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol.

Jaringan itu sudah cukup memastikan JDT meraih tiga mata pertama dalam penampilan pertama kancah kelab-kelab elit Asia dan ia jelas membanggakan walaupun tidak diletak harapan tinggi tatkala sekadar menimba pengalaman.

Berita Harian X