Rabu, 8 Mei 2019 | 12:49pm
Pertahanan Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen (tengah) pada sesi latihan di Amsterdam menjelang pertemuan Ajax Amsterdam pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara, pagi esok. - Foto AFP

Vertonghen, Son dan Lamela beri khabar gembira

AMSTERDAM: Tonggak pertahanan, Jan Vertonghen dan pemain sayap Korea Selatan, Son Heung-min memberi khabar gembira buat Tottenham Hotspur apabila disah cergas untuk perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Ajax, pagi esok. (jam 3 pagi waktu Malaysia).

Perkara itu disahkan pengendalinya, Mauricio Pochettino dalam sidang media pra perlawanan, di sini, hari ini.

Pemain  Belgium itu cedera di bahagian hidung selepas berlaga kepala dengan rakan sepasukan Toby Alderweireld ketika Spurs dikejutkan 0-1 dalam pertembungan Liga Perdana, Sabtu lalu.

Vertonghen cuba bermain dalam aksi Liga Perdana minggu lalu tetapi terpaksa digantikan selepas dia didapati sukar berdiri dengan betul.

"Dia (Vertonghen) tidak mengalami sebarang masalah cuma luka di hidung saja,” kata Pochettino kepada wartawan.

“Saya rasa dia cergas untuk diturunkan.”

Tottenham, yang turun tanpa tonggak utama, Harry Kane, berdepan tugas menggunung untuk mara ke final.

Spurs juga bakal memiliki penggempur Korea Selatan, Son Heung-min, wira di suku akhir yang memadamkan impian Manchester City di suku akhir.

Sayap Korea Selatan itu kembali ke gelanggang selepas digantung satu perlawanan manakala sayap dari Argentina, Erik Lamela juga sedia menambah sengat di barisan depan.

Pochettino mengakui situasi itu membolehkan anak buahnya beraksi dengan bebas tanpa tekanan berbanding perlawanan separuh akhir pertama dan pastinya akan mengikut jejak Liverpool yang tidak putus asa melawan hingga mampu mara ke final walaupun ketinggalan 3-0 di tangan Barcelona.

"Keputusan negatif dalam aksi pertama (di Tottenham) sememangnya menjadikan ia sukar, tetapi peluang masih terbuka,” katanya.

"Kami perlu menang dan memberikan aksi terbaik kami. Ia detik yang sangat mengujakan buat kami. Kami perlu bermain dengan penuh kebebasan esok, kerana kami tiada apa-apa tekanan.” – AFP/Reuters

734 dibaca
Berita Harian X