Rabu, 8 Mei 2019 | 12:08pm
PEMAIN Liverpool, Georginio Wijnaldum (kiri) meraikan jaringan bersama Trent Alexander-Arnold selepas meledak gol ketiga. - Foto EPA

'Anda memang bijak Alexander-Arnold'

LIVERPOOL: Sumbangan ‘pintar’ Trent Alexander-Arnold's mendapat sanjungan Jurgen Klopp yang menyaksikan Liverpool mara ke final Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan Barcelona, awal pagi tadi.

Berdepan tugasan sukar untuk mengatasi kekalahan 3-0 pada aksi separuh akhir pertama di Nou Camp, minggu lalu selain tanpa kelibat dua penyerang, Mohamed Salah dan Roberto Firmino, Liverpool melakar kebangkitan hebat apabila menang 4-0 di Anfield.

Reds memperoleh gol awal hasil jaringan Divock Origi dan menyamakan kedudukan secara agregat menerusi dua gol pantas Georginio Wijnaldum pada babak kedua sebelum tindakan bijak Alexander-Arnold menghasilkan jaringan kemenangan.

Berpunca daripada sepakan sudut, pemain sayap England itu pada satu ketika seperti ingin meninggalkan bola sebelum melepaskan hantaran bola rendah yang pantas disambar Origi untuk gol kemenangan tatkala kebanyakan pemain Barca hanya tercengang.

“Kami fikir persembahan kami lebih baik berbanding ketika keputusan 3-0 di Barca, dan Barca lebih baik berbanding 4-0 di sini,” kata Klopp.

“Kami semua tahu yang kami memerlukan tuah dalam situasi ini atau detik yang pintar seperti Trent Alexander-Arnold. Saya melihat bola itu masuk ke gawang dan tidak tahu siapa yang mengambil sepakan sudut itu, ia agak pantas untuk saya. Oh tuhan, pintar.”

Kemenangan Manchester City ke atas Leicester City, awal pagi Selasa lalu bermakna peluang Liverpool untuk memenangi Liga Perdana Inggeris bergantung kepada aksi terakhir liga, Ahad ini.

Tetapi kemenangan terhadap Barcelona memberi mereka peluang untuk meraih kejayaan di pentas Eropah dengan Klopp menghamburkan pujian terhadap suasana Anfield yang menakjubkan.

“Tidak mungkin,” kata Klopp ketika ditanya sama ada kemenangan seperti itu mampu dilakukan di stadium yang kosong. “Kami tahu kelab ini mampu menghasilkan suasana seperti itu, emosi, keinginan dan kualiti bola sepak. Jika kamu buang salah satu, ia tidak akan berhasil.” - Agensi

5680 dibaca
Berita Harian X