Rabu, 8 Mei 2019 | 10:17am
REAKSI pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino pada sesi latihan anak didiknya di Arena John Cruijff di Amsterdam, Belanda. - Foto Reuters

Pochettino 'balik kampung' jika Spurs muncul juara

AMSTERDAM: Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyatakan kesediaan untuk ‘balik ke kampung’ dan meninggalkan anak buahnya jika pasukannya mencipta keajaiban dengan menjuarai Liga Juara-Juara musim ini.

Spurs perlu mengatasi defisit 0-1 berdepan Ajax Amsterdam dalam separuh akhir kedua awal pagi esok (jam 3 pagi waktu Malaysia) untuk bertemu Liverpool di Madrid bulan depan.

Liverpool mara ke final menerusi agregat 4-3 selepas merakam kebangkitan menakjubkan di Anfield apabila menyumbat empat gol tanpa balas pagi tadi.

"Menjuarai Liga Juara-Juara? Ia pasti menakjubkan, bukan? Tutup buku lima tahun dan pulang ke kampung,” kata Pochettino dalam sidang media pra perlawanan di Johan Cruyff Arena, hari ini.

Pochettino, 47, berseloroh namun hakikatnya dia mengakui sukar untuk anak buahnya menggapai gelaran juara kerana beberapa kekangan dihadapinya dalam mendapatkan pemain tambahan pada dua jendela perpindahan lalu.

"Untuk memenangi cabaran ini, saya mungkin perlu lakukan sesuatu yang berbeza pada masa depan. 

"Untuk mengulangi keajaiban ini, kamu pun tahu ia mustahil.” 

Dalam pada itu, harapan Tottenham melonjak semula menjelang sepak mula apabila pertahanannya, Jan Vertonghen yang cedera di bahagian hidung kembali menjalani latihan.

Bekas pemain Ajax dari Belgium itu berlatih dengan memakai topeng muka bagi melindungi hidungnya yang cedera ketika berlaga dengan rakan sepasukan Toby Alderweireld.

Vertonghen cuba bermain dalam aksi Liga Perdana minggu lalu tetapi terpaksa digantikan selepas dia didapati sukar berdiri dengan betul.

Spurs dalam pada itu mengesahkan Vertonghen tidak mengalami masalah gegaran otak.

Namun begitu, Spurs menerima tamparan apabila pertahanan tengahnya, Davinson Sanchez terpaksa diketepikan pagi nanti selepas cedera pangkal paha ketika membantu Spurs berdepan Bournemouth dalam liga Sabtu lalu.

"Dia (Vertonghen) tidak mengalami sebarang masalah cuma luka di hidung saja,” kata Pochettino kepada wartawan.

"Banyak pemain boleh meneruskan aksi dalam situasi seperti itu. Jika dia cergas esok, dan kami yakin, maka kami akan beri kepercayaan kepadanya untuk bermain. Saya tidak fikir dia perlu memakai topeng lagi.”

Tottenham, yang turun tanpa tonggak utama, Harry Kane, berdepan tugas menggunung untuk mara ke final.

Setakat ini hanya satu daripada 17 pasukan yang tewas di separuh akhir di laman sendiri Liga Juara-Juara mampu mengubah keadaan – iaitu Ajax yang bangkit menewaskan Panathinaikos dalam separuh akhir kedua pada musim 1995/96.

Namun Spurs memiliki penggempur Korea Selatan, Son Heung-min, wira di suku akhir yang memadamkan impian Manchester City, dia kini kembali selepas digantung satu perlawanan manakala sayap dari Argentina, Erik Lamela juga sedia menambah sengat di barisan depan.

Pochettino mengakui situasi itu membolehkan anak buahnya beraksi dengan bebas tanpa tekanan berbanding perlawanan separuh akhir pertama dan pastinya akan mengikut jejak Liverpool yang tidak putus asa melawan hingga mampu mara ke final walaupun ketinggalan 3-0 di tangan Barcelona.

"Keputusan negatif dalam aksi pertama (di Tottenham) sememangnya menjadikan ia sukar, tetapi peluang masih terbuka,” katanya.

"Kami perlu menang dan memberikan aksi terbaik kami. Ia detik yang sangat mengujakan buat kami. Kami perlu bermain dengan penuh kebebasan esok, kerana kami tiada apa-apa tekanan.” – Reuters

 

 

Berita Harian X