Rabu, 8 Mei 2019 | 7:31am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp meraikan kejayaan pasukan bimbingannya mara ke final Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan Barcelona, awal pagi tadi. - Foto AFP

Kemaraan Reds buat Klopp 'terlalu teruja'

LIVERPOOL: Jurgen Klopp tidak dapat menahan dirinya daripada mengeluarkan kata-kata kesat ketika meraikan kejayaan Liverpool mara ke final Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan Barcelona di Anfield, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Klopp melangkah ke final aksi elit Eropah itu buat musim kedua berturut-turut menerusi kemenangan menakjubkan 4-0 pada aksi separuh akhir kedua sekali gus mara dengan agregat 4-3.

Peluang Reds pada awalnya tampak samar selepas kalah 3-0 pada aksi pertama di Nou Camp, minggu lalu tetapi dua gol masing-masing daripada Divock Origi dan Georginio Wijnaldum melengkapkan salah satu kebangkitan paling menakjubkan dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Kejayaan mengagumkan itu sentiasa mencetuskan rasa teruja buat Klopp dengan pengurus kelahiran Jerman itu gagal membendung emosinya ketika sidang media selepas perlawanan.

“Ia 10 daripada 10, mungkin kebanyakan anak-anak kamu sudah tidur tetapi pemain-pemain ini... (mencarut) gergasi yang berbakat. Ia sukar dipercayai,” kata Klopp.

“Denda saya jika kamu mahu. Saya bukannya seorang yang baik jadi saya tidak mempunyai ayat yang lebih baik. Keseluruhan perlawanan. Persembahan keseluruhan adalah begitu baik. Ia cukup mengujakan. 


Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) meraikan kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara bersama pasukannya, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Saya sudah menonton banyak perlawanan bola sepak sepanjang hidup saya tetapi saya tidak dapat mengingati sesuatu seperti ini. Untuk menang sudah pun tugas yang sukar tetapi untuk menang tanpa bolos? Kami bermain menentang mungkin pemain terbaik di dunia.

“Saya tidak tahu bagaimana pemain saya melakukannya,” kata Klopp sambil memuji semangat juang pemainnya yang enggan menerima kekalahan besar mereka pada perlawanan pertama.

Kemenangan di gelanggang sendiri itu lebih menakjubkan kerana Liverpool terpaksa beraksi tanpa kelibat beberapa pemain utama termasuk dua penyerang, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Naby Keita.

Klopp mengubah perancangannya dengan menyenaraikan Origi dan Xherdan Shaqiri bagi mengisi kekosongan itu dan gembira percaturannya berhasil.

"Divock dan Shaq tidak banyak bermain. Menghasilkan persembahan seperti itu, ia amat penting. Ia menunjukkan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Ia amat bagus.”

Liverpool kini menempah aksi final Piala Eropah/ Liga Juara-Juara kesembilan dalam usaha untuk memenanginya buat kali keenam dan mereka dijadual sama ada bertemu gergasi Belanda, Ajax atau Tottenham pada perlawanan yang dijadualkan Madrid, bulan depan. - AFP

 

 

Berita Harian X