Selasa, 7 Mei 2019 | 6:13pm
KAPTEN Kashima Antlers FC, Go Oiwa (dua dari kiri) bergambar bersama kapten JDT, Hariss Harun sambil diperhatikan jurulatih Kashima Antlers FC, Koki Anzai (kiri) dan jurulatih JDT, Benjamin Mora ketika sidang media perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT buru kemenangan pertama ACL

JOHOR BAHRU: Walaupun peluang untuk mara ke pusingan 16 Saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tampak sukar, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih mengidam slot berkenaan namun perlu menang baki dua perlawanan Kumpulan E menentang Kashima Antlers (Jepun) dan Gyeonnam FC (Korea Selatan).

JDT akan melayani kunjungan Kashima Antlers pada perlawanan kelima, pusingan kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok, yang harus digunakan pemain bimbingan Benjamin Mora memburu kemenangan pertama ACL selepas hanya mengumpul satu mata dalam empat perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, Mora tidak mahu memasang mimpi indah dan mahu berpijak di bumi nyata tatkala menentang Kashima Antlers yang juga juara bertahan ACL. 

"Secara matematik kita masih boleh layak seandainya menang dalam kedua-dua perlawanan menentang Kashima (Antlers) dan Gyeonnam FC, tetapi ia bukanlah tugas mudah kerana anda sendiri tahu reputasi kedua-dua pasukan dan sudah tentu Shandong Luneng FC tidak akan tewas pada baki perlawanan mereka. 

"Kami tidak mahu fikirkan slot ke pusingan seterusnya, sebaliknya apa yang kami rancang dalam tempoh singkat adalah membentuk taktikal mantap bagi memberi saingan kepada kelab dari Jepun yang pernah menewaskan kami 2-1 pada aksi pusingan pertama.

"Apa yang penting, kami mahu meneruskan corak permainan dirancang dan saya akan menurunkan kesebelasan terbaik termasuk kehadiran semula Mauricio Nascimento yang tidak beraksi ketika menewaskan FELDA United, baru-baru ini," katanya.

Mora berkata, langkah menurunkan kesebelasan terbaik berdepan skuad kendalian Go Iowa bukan saja dalam usaha mencari kemenangan pertama saingan ACL, malah sebagai persiapan menghadapi Pahang dalam aksi Liga Super di laman sendiri, Selasa ini.

Dalam pada itu, kapten Hariss Harun berharap kemenangan akan memihak JDT namun perlu berwaspada dengan kelicikan barisan pemain Kashima Antlers yang gemar beraksi dengan corak permainan pantas dan mengelirukan.

Katanya, walaupun berdepan cabaran kerana perlu beraksi pada Ramadan, sebagai pemain itu bukanlah alasan dan menyifatkan memberi lebih motivasi kepadanya dan rakan sepasukan untuk cemerlang dalam perlawanan itu nanti.

"Kami menempuh jadual perlawanan padat dan kesemua pemain tampak enggan menggunakan itu sebagai alasan sebaliknya mereka ingin fokus dan memberi persembahan terbaik kerana beraksi di peringkat saingan kelab-kelab elit adalah satu penghormatan tertingi.

"Kami dapati, Shandong lebih fizikal tetapi lawan kami malam esok, mengamalkan corak taktikal pantas dan kerap menggerakkan bola yang mengelirukan. Itu yang merisaukan tapi kami akan cuba mengelak daripada mudah terperangkap dengan helah mereka," kata Hariss.

874 dibaca
Berita Harian X