Selasa, 7 Mei 2019 | 9:36am
LUIS Suarez. - Foto EPA

Salah kehilangan besar Liverpool - Suarez

LONDON: Bintang Barcelona, Luis Suarez percaya Mohamed Salah akan menjadi satu ‘kehilangan besar’ buat Liverpool dalam pertembungan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara, di Anfield esok (jam 3 pagi waktu Malaysia).

Pada pertemuan itu, Salah dan Roberto Firmino disahkan tidak dapat diturunkan membantu kempen Liverpool yang ketinggalan 0-3 menerusi agregat.

Firmino terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot manakala Salah masih dirawat susulan kecederaan bahagian kepala selepas berlaga ketika membantu Liverpool mengatasi Newcastle United dalam saingan liga Sabtu lalu.

Suarez, yang menjaringkan satu gol dalam pertembungan pertama di Camp Nou, berkata ketiadaan Salah menjadi tamparan hebat buat Liverpool, namun memberi amaran kepada rakannya mengenai keupayaan tersendiri milik pencabar mereka itu.

"Salah adalah pemain yang sangat penting, dia adalah tiga pemain utama dalam senarai dunia sejak dua tiga tahun lalu,” kata Suarez dalam sidang media pra perlawanan.

"Ia akan menjadi kehilangan besar buat mereka, tetapi Liverpool memiliki (Xherdan) Shaqiri, (Daniel) Sturridge, (Divock) Origi yang semuanya pemain berkualiti dan kami harus berhati-hati dengan mereka.”

Berbanding Barca, Liverpool terpaksa bergelut dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City manakala Barcelona pula mampu merehatkan peman utama ketika berdepan Celta Vigo ketika sudah bergelar juara La Liga.

Namun pengendali Barca, Ernesto Valverde mengakui mereka tetap bimbang dengan ketiadaan Ousmane Dembele yang masih berdepan kecederaan hamstring.

"Semua pemain tidak mahu kecederaan, amat bagus jika mereka sembuh dengan cepat dan amat malang jika mereka tidak dapat bermain malam esok,” katanya.

"Kami akan merindui khidmat Dembele kerana dia pemain yang cekap menyambar ruang kosong Liverpool,” kata Valverde – Agensi

Berita Harian X