Isnin, 6 Mei 2019 | 6:38pm
Dollah yakin barisan pemainnya berupaya bangkit selepas mengharungi dua kekalahan berturut-turut. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Tok Gajah tekad bangkit

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh yakin barisan pemainnya berupaya bangkit selepas mengharungi dua kekalahan berturut-turut.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kekalahan  dalam saksi suku akhir pertama Piala FA dan Liga Super tidak bermakna pasukannya sedang berdepan masalah dalaman atau berdepan isu, tapi ia lebih kepada kelemahan pemain ketika berdepan asakan pihak lawan.

"Kita boleh lihat, persembahan mereka (pemain) agak mengecewakan dan masalahnya mungkin disebabkan pemain yang terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan.

"Ini bukan bermakna kita tidak boleh perbaiki kelemahan yang ada... masih ada ruang untuk kita bangkit dan pamerkan corak permainan lebih baik selepas tempoh rehat Liga Super berakhir," katanya.

Kelmarin, skuad Tok Gajah tewas 0-2 kepada PJ City FC yang juga kekalahan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Sebelum itu,  pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) 1 Mei lalu, Pahang tewas 1-2 dan perlu menang apabila kedua-dua bertemu pada suku akhir kedua, Jumaat ini.

Ketiadaan penyerang import, Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan hamstring jelas menjejaskan jentera serangan skuad Tok Gajah.

Ini kerana gandingan Jose Eduardo dan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan dilihat belum cukup untuk merobek kubu lawan.

528 dibaca
Berita Harian X