Jumaat, 3 Mei 2019 | 8:21pm
Pemain Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringan di depan pemain Liverpool, Mohamed Salah dalam saingan Liga Juara-Juara di Nou Camp. - Foto AFP

Liverpool sudah lupakan kekalahan kepada Barca

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp percaya pasukannya sudah melupakan kekalahan 3-0 dalam Liga Juara-Juara di tangan Barcelona dan fokus bagi mencari kemenangan penting Liga Perdana menentang Newcastle esok.

Liverpool mengejar pendahulu, Manchester City dengan satu mata berbaki dua perlawanan Liga Perdana dan pengendali dari Jerman itu berkata, dia tidak perlu meningkatkan moral pemainnya selepas kekalahan di Sepanyol pada saingan pertama separuh akhir itu.

“Kami tidak perlu memilih pemain di Barcelona dan memeluknya. Ia sudah ada dalam diri kami. Jika anda mahu menang bola sepak, anda perlu menerima bahawa anda juga boleh tewas.

“Saya ada pemikiran positif mengenai perlawanan itu kerana apa yang kami lakukan di padang,” kata Klopp yang juga tidak bimbang mengenai kelesuan terhadap pemainnya.

“Pemain sangat bagus. Apabila anda sedang mengejar kejuaraan, anda tidak boleh letih. Kami sangat bercita-cita tinggi. 

“Apa yang kami boleh lakukan ialah menewaskan Newcastle dan ia memang sukar, apa yang pasukan lain lakukan pada malam Isnin bukan masalah kami,” katanya merujuk kepada perlawanan Manchester City di laman sendiri berdepan Leicester City.

“Persembahan sejak minggu kebelakangan ini memang bagus. Kini kami perlu terus melakukannya,” katanya. - Reuters

430 dibaca
Berita Harian X