Khamis, 2 Mei 2019 | 1:01pm
Pemain Tottenham Hotspurs, Jan Vertonghen terbaring di padang selepas bertembung dengan pemain ketika beraksi menentang Ajax Amsterdam pada perlawanan Liga Juara-Juara, semalam. - Foto EPA

Vertonghen jalani ujian susulan

LONDON: Pertahanan Tottenham, Jan Vertonghen akan menemui pakar neurologi, hari ini berikutan kecederaan kepala teruk yang diperolehnya ketika aksi separuh akhir Liga Juara-Juara melawan Ajax.

Raut muka Vertonghen tampak terkejut dan dipenuhi darah selepas dia bertembung dengan rakan sepasukan, Toby Alderweireld pada separuh masa perlawanan, awal pagi kelmarin.

Pemain kebangsaan Belgium itu pada awalnya cuba kembali bermain selepas menerima rawatan daripada staf perubatan Tottenham tetapi dia dilihat masih belum stabil dan kemudian perlu dibantu ketika dikeluarkan daripada padang.

Apa yang dibimbangkan ialah Vertonghen mengalami gegaran otak, sekali gus meningkatkan persoalan mengenai keputusan kelab membenarkannya untuk kembali bermain.

Vertonghen tidak menunjukkan sebarang kesan buruk akibat insiden itu dan ujian yang dijalankan setakat ini tidak memberikan keputusan negatif tetapi Tottenham mendedahkan ujian lanjutan dengan pakar akan dibuat.

"Jan Vertonghen akan menjalani penilaian lanjutan hari ini selepas mengalami kecederaan kepala pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Ajax,” kata Tottenham dalam kenyataan berkenaan.

“Dia turut memperoleh luka kecil di bahagian hidungnya yang menyebabkan pendarahan yang teruk. Jan dengan pantas dikeluarkan selepas pemain itu memberitahu pasukan keselamatan mengenai simptom yang dialaminya secara tiba-tiba dan dia tidak lagi boleh berdiri dengan stabil.

“Dia melepasi ujian pada hari ini dan ujian akan terus dilakukan untuk hari-hari berikutnya. Sebagai tambahan, dengan standard kelab membabitkan sesetengah kecederaan, kami juga akan mendapatkan nasihat badan bebas dan Jan dijadual ahli neurologi, yang pakar membabitkan atlet, esok.”

Vertonghen menulis di Twitter: “Bukan permainan yang saya mahu harungi pada malam lalu. Perasaan saya pada hari ini bagus. Terima kasih kepada kedua-dua peminat atas mesej positif.” - AFP

Berita Harian X