Khamis, 2 Mei 2019 | 11:16am
Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde pada saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Igauan ngeri di Rome masih hantui Valverde

BARCELONA: Ernesto Valverde mengakui penyingkiran Barcelona oleh AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara musim lalu masih menghantui skuad kendaliannya yang melakar kemenangan besar ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

Barcelona tampil dengan aksi mengagumkan apabila menang 3-0 pada aksi separuh akhir pertama di Nou Camp untuk meletakkan mereka sebelah kaki ke final saingan elit Eropah itu.

Gol Luis Suarez pada babak pertama dan dua gol bintangnya, Lionel Messi memberikan kelab Catalan itu permulaan yang diimpikan tetapi Valverde berkata tempat pasukannya masih belum terjamin menjelang aksi kedua di Anfield, minggu depan.

Di peringkat suku akhir musim lalu, Barca melakar kemenangan 4-1 ke atas Roma di gelanggang sendiri pada aksi pertama sebelum tewas 3-0 kepada di laman lawan lantas tersingkir dengan peraturan gol di tempat lawan.

“Kami tidak akan datang ke sana dengan langkah berjaga-jaga tetapi pengalaman perlu diambil kira,” kata Valverde. 

“Kami melihat bagaimana Liverpool mengawal permainan dengan kepantasan dan corak yang mereka mainkan, dan kami tidak boleh lupa yang kami tidak boleh merasa yakin. Pertarungan masih terbuka dan kami belum pun mara.”

Liverpool menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di gelanggang lawan menentang Bayern Munich dan Porto dan sekali pun ketinggalan, mereka sentiasa mempunyai keinginan tinggi untuk menyerang.

“Kami tidak boleh menipu, keputusan sentiasa baik apabila kamu menang dan lawan kamu tidak menjaringkan gol tetapi kami bergelut. Masih ada 90 minit perlawanan untuk diharungi di mana kami boleh menjaringkan gol dan mereka juga sama,” kata Valverde.

“Mereka lebih baik daripada kami pada satu-satu ketika dan kami tahu apa yang menanti kami di sana. Saya melihat sebuah pasukan yang mempunyai kemampuan untuk membuatkan mana-mana pasukan menderita. Tahun lalu kami mempunyai kelebihan tiga gol dan tersingkir. Kami memperoleh keputusan yang hebat hari ini tetapi ia belum berakhir.” - Reuters

Berita Harian X