Selasa, 30 April 2019 | 2:25pm
PRESIDEN KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (tengah) memegang jersi no 9 selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah J-League, Minoru Takehara (kiri) sambil disaksikan Fernando Torres (kanan). - Foto Persatuan Bolasepak Kedah

KFA, J-League jalin kerjasama

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terus mengorak langkah mengembangkan potensi pemain apabila secara rasmi menjalin kerjasama dengan kelab Jepun yang beraksi di J-League. 

Ini merupakan usaha berterusan KFA setelah mengadakan kerjasama dengan kelab Premier League, Cardiff City Football Club (CCFC) dan kelab Hyundai A-League, Perth Glory FC (PGFC) sebelum ini. 

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam entri terbarunya menyatakan Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir telah mengadakan perjumpaan bersama Pengarah J-League, Minoru Takehara yang juga pemilik kelab Sagan Tosu ketika siri lawatan ke China dan Jepun.

"Perjumpaan yang berlangsung semalam adalah rentetan kunjung hormat Presiden KFA terhadap Duta Besar Jepun yang ketika itu turut membincangkan cadangan pembangunan bolasepak dengan Jepun untuk dimanfaatkan oleh pengurusan dan juga bakat muda bolasepak di Kedah." 

"Perjumpaan yang berlangsung semalam di Tokyo turut dihadiri oleh pemain ternama Fernando Torres yang kini  penyerang kelab Sagan Tosu."

"Perjumpaan semalam bersama Takehara sudah semestinya merupakan langkah awal untuk memulakan kerjasama pembangunan bolasepak antara KFA dan kelab Sagan Tosu. 

"KFA juga telah menerima reaksi positif oleh Takehara yang bakal melihat usahasama pertama pasukan bolasepak di Malaysia bersama kelab J-League." 

Turut dinyatakan, pihak Kelab Sagan Tosu merancang untuk mengadakan lawatan rasmi ke Kedah sebagai penghargaan persepakatan yang dicapai. 

"Sebagai menghargai kunjungan oleh Presiden KFA, Takehara bercadang untuk ke Kedah sebagai lawatan rasmi kelab Sagan Tosu dan wakil J-League dalam memuktamadkan kerjasama pembangunan bolasepak yang dirancang." 

KFA melalui hasil kerjasama dan program pembangunan bolasepak bersama kelab profesional antarabangsa yang dilaksanakan sebelum ini, 14 pemain dan seorang jurulatih telah berjaya mendapat manfaat selama sebulan dari setiap program latihan berkenaan. 

Berita Harian X