Selasa, 30 April 2019 | 1:57pm
Dickson Nwakaeme.

Nwakaeme terlepas aksi di Kuala Terengganu

KUANTAN: Skuad Pahang dijangka terpaksa mengetepikan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada aksi suki akhir pertama saingan Piala FA menentang Terengganu FC (TFC), malam esok. 

Pemain import dari Nigeria itu mengalami kecederaan hamtring ketika skuad Tok Gajah mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam kelmarin.

Pengendali pasukan, Dollah Salleh berkata, Nwakaeme terpaksa dikeluarkan pada babak kedua perlawanan dipercayai berpunca daripada kesan kecederaan lama dialaminya.

"Sebenarnya, Nwakaeme masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamtring, tetapi kami amat memerlukan khidmatnya dalam perlawanan itu bagi menambah ketajaman di bahagian serangan.

"Dia sudah memberikan yang termampu sepanjang perlawanan dan disebabkan kecederaan, saya terpaksa mengeluarkan Nwakaeme bagi mengelakkan daripada kecederaan dialaminya bertambah serius," katanya.

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan bakal mempertaruhkan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Jose Eduardo untuk merobek gawang skuad Penyu.

Aksi kurang menyengat bahagian serangan juga perlu diperbaiki segera memandangkan TFC memiliki kelebihan, ditambah pula dengan beraksi di gelanggang sendiri.

Penyerang import TFC, Kipre Tchetche dari Ivory Coast juga dilihat antara watak yang berpotensi menghukum skuad Tok Gajah, jika tidak diikat dengan baik oleh pemain tengah dan barisan pertahanan Pahang. 

"Saya sudah memberi amaran kepada semua pemain untuk beraksi dengan lebih berhati-hati dan mempamerkan aksi terbaik mereka bagi perlawanan itu.

 "Kalau boleh kita mahu membawa pulang bekalan selesa dari sana dan sekurang-kurangnya memudahkan tugas kami apabila mereka (TFC) berkunjung ke sini untuk aksi timbal balas nanti," katanya.

#kw Dollah, Pahang, Piala FA

805 dibaca
Berita Harian X