Selasa, 30 April 2019 | 1:37pm
Jurgen Klopp. - Foto AFP

Nou Camp bukan kuil keramat - Klopp

LONDON: Bos Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan skuad kendaliannya tidak takut untuk membuat kunjungan ke Nou Camp bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona, awal pagi Khamis ini.

Reds akan mengharungi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di gelanggang Barca di Catalunya sebelum melengkapkan pusingan berkenaan di Anfield pada 8 Mei.

Begitupun, mereka dijangka berdepan cabaran menggunung apabila ruan rumah menikmati prestasi yang mengagumkan di gelanggang sendiri di pentas Eropah setakat ini.

Skuad bimbingan Ernesto Valverde menang empat daripada lima perlawanan Liga Juara-Juara di Nou Camp tahun ini, dengan hanya Tottenham mampu memberikan ‘calar’ apabila mengikat gergasi Sepanyol itu yang menurunkan skuad kedua di peringkat kumpulan.

Di peringkat kalah mati, Barca menewaskan Lyon dan Manchester United masing-masing dengan keputusan 5-1 dan 3-0.

Klopp begitupun tidak percaya stadium terkenal itu mempunyai kuasa mistik dan Liverpool sudah membuktikan kemampuan mereka di gelanggang gergasi Jerman Bayern Munich, Allianz Arena.

“Nou Camp hanya sebuah stadium. Ia agak besar, tetapi ia bukan kuil untuk bola sepak,” kata Klopp. “Kamu perlu datang ke sini pada akhirnya. 

“Kamu melihat pasukan lain yang menempuh masa sukar ketika mereka bermain di sana dan kini kami akan mengharunginya. Sudah tentu kami berharap untuk bermain dengan baik.”

Sekali pun yakin dengan kemampuan pasukannya, pengendali dari Jerman itu mengakui Liverpool akan memulakan aksi sebagai pasukan bukan pilihan dalam usaha kelab itu melengkapkan kemaraan ke pentas final buat musim kedua berturut-turut.

“Jika kamu bermain menentang Barcelona, kamu jelas bukan pilihan,” katanya. “Ini adalah perlawanan yang menakjubkan bagi semua peminat bola sepak.” - Agensi

Berita Harian X