Selasa, 30 April 2019 | 11:20am
Philippe Coutinho. - Foto AFP

Jual Coutinho lonjak Liverpool

LONDON: Liverpool sudah terbiasa melihat ‘aset’ terbaiknya dipancing gergasi Sepanyol sejak sedekad lalu tetapi penjualan Philippe Coutinho ke Barcelona membina asas bagi pembangunan semula kelab berkenaan.

Coutinho yang bergelut untuk menyamai harga mahalnya £142 juta (RM759.76 juta) akan berdepan bekas kelabnya itu di Nou Camp, awal pagi Khamis ini apabila Liverpool membuat kunjungan ke Catalonia bagi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Liverpool memperoleh pengajaran berharga susulan penghijrahan Xabi Alonso dan Javier Mascherano ke Real Madrid serta Barcelona apabila ia pantas memudarkan cabaran mereka ketika era Rafael Benitez.

Situasi sama berulang apabila mereka kehilangan penyerang berbisa, Luis Suarez ke Barca lima tahun lalu.

Apabila juara Sepanyol itu terdesak untuk menambah deretan pemain bintang sejurus Neymar menyertai Paris Saint-Germain pada Ogos 2017, pihak pengurus Reds bertindak pantas dengan meningkatkan harga jualan Coutinho.

Coutinho akhirnya memperoleh perpindahan yang diimpikan pada Januari tahun lalu tetapi kerja keras yang dilakukan Jurgen Klopp bagi mengembalikan gemilang juara lima kali Eropah itu sudah pun mula menampakkan hasilnya.

Klopp kemudian membawa masuk Virgil van Dijk dengan nilai £75 juta (RM401.27 juta) dari Southampton yang menjadikan pemain Belanda itu pertahanan termahal dunia.

Sekali pun perpindahan itu menjadi perdebatan, impak yang dibawa Van Dijk terhadap transformasi Liverpool berhasil apabila dia menjadi pertahanan pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA 2019 sejak kali terakhir 14 tahun lalu.

“Sejak daripada mula saya amat teruja dengan peluang untuk kami bekerja bersama dan kini kamu adalah orangnya,” kata Klopp mengucapkan tahniah kepada tonggak pertahanannya itu.

Sepanjang lima tahun di Anfield, Coutinho menjaringkan banyak gol menakjubkan tetapi dia tidak memenangi trofi dan Liverpool hanya layak beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara sebanyak dua kali ketika itu.

Berbanding Van Dijk, selepas lima bulan menyarung jersi Reds, dia membantu kelab itu menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan empat terbaik dan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu sebelum tewas kepada Real Madrid.

Lebihan daripada duit penjualan Coutinho turut digunakan untuk memancing beberapa lagi pemain antaranya penjaga gol Brazil, Alisson Becker dari Roma dengan pilihan tengah Klopp ditingkatkan dengan kehadiran Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri musim panas lalu.

Bagi mengelak situasi seperti Coutinho berulang, Liverpool turut mengikat tiga penyerang prolifiknya Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino dengan kontrak jangka panjang.

Dan pengurusan organisasi yang mantap itu dibayar dengan prestasi cemerlang di atas padang apabila Reds menjadi pencabar utama bagi saingan Liga Perdana musim ini sekali pun mereka masih ketinggalan satu mata di belakang  Manchester City berbaki dua perlawanan.

Dengan hakikat Klopp masih belum memenangi sebarang trofi sejak tiba di Anfield pada 2015, kejayaan menewaskan Barca akan memberikan lebih kepuasan selain menunjukkan kepada Coutinho apa yang dia lepaskan di Merseyside. - AFP

2489 dibaca
Berita Harian X