Isnin, 29 April 2019 | 8:19am
Penjaga gol Manchester United, David de Gea (kiri) melihat bola menerjah masuk ke gawangnya ketika menentang Chelsea, semalam. - Foto EPA

Teruskan sokong De Gea - Solskjaer

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan dia tidak kesal dengan tindakannya terus mempercayai David de Gea selepas satu lagi kesilapan penjaga gol Sepanyol itu mengakibatkan Chelsea meraih keputusan seri 1-1 di Old Trafford, semalam.

De Gea menjadi tumpuan susulan prestasi longlainya ketika skuad kendalian Solskjaer tewas teruk kepada Barcelona, Everton dan Manchester City dalam tiga perlawanan terakhir pasukan itu.

Selepas mengharungi permulaan baik dengan tuan rumah dianugerahkan gol pembukaan oleh Juan Mata pada minit ke-11, kesilapan De Gea yang gagal menangkap kemas rembatan jarak jauh Antonio Rudiger membenarkan Marcos Alonso menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat.

Begitupun, ketika menuju ke bilik persalinan, De Gea mendapat sokongan peminat yang bertindak melaungkan namanya sebagai pengiktirafan atas prestasi baiknya sejak beberapa musim lalu sebelum mengharungi kejatuhan prestasi, baru-baru ini.

“David menakjubkan bagi kelab ini. Segala-galanya sudah dijelaskan oleh penyokong,” kata Solskjaer. “Tidak mungkin bagi sesiapapun menyalahkan dirinya disebabkan kami kehilangan begitu banyak mata.”

Masa depan De Gea di United masih belum dapat dipastikan dengan kontraknya masih berbaki setahun. 

Begitupun, Solskjaer berkata dia akan berbincang dengan penjaga golnya itu pada minggu ini sama ada langkah untuk merehatkannya pada baki musim ini adalah tindakan yang terbaik.

“Saya fikir David adalah seseorang yang gemar untuk bermain. Saya akan bercakap dengannya pada minggu ini dan saya yakin dia akan membalasnya dengan cepat.”

Begitupun, satu mata yang dipungut selepas mengharungi tujuh kekalahan daripada sembilan perlawanan agak melegakan bagi United tetapi keputusan itu tidak membantu mereka dalam usaha mencabar kedudukan empat teratas liga. 

United yang ketika ini mengutip 65 mata menghuni tangga keenam liga dan dibezakan tiga mata dengan pasukan tangga keempat, Chelsea berbaki dua perlawanan. - AFP

Berita Harian X