Sabtu, 27 April 2019 | 11:26pm
PEMAIN PKNS FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez meraikan gol dengan rakan pasukan pada aksi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

PKNS FC tamat kemarau 4 perlawanan

 

SHAH ALAM: PKNS FC menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan apabila menang 3-2 mengatasi Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan anak buah Datuk K Rajagobal itu menamatkan rentak tanpa kalah dilakar skuad The Hawks dalam empat perlawanan liga sebelum ini sekali gus menyaksikan Kuala Lumpur kekal di zon penyingkiran selepas berakhirnya pusingan pertama Liga Super, minggu ini.

Pada aksi terbabit, Kuala Lumpur tergamam apabila dibolosi seawal 25 saat selepas Romel Morales yang tidak dikawal melepaskan rembatan deras daripada luar kotak penalti menewaskan Mohd Faridzuean Kamaruddin untuk gol pertama tuan rumah.

Bagaimanapun, asakan bertali arus dilancar Kuala Lumpur seakan tidak bermakna apabila PKNS FC beroleh gol kedua, kali ini menerusi tandukan Kpah Sherman yang menyudahkan hantaran lintang R Surendran pada minit ke-31.


PEMAIN PKNS FC, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Muhammad Akram Mahinan cuba menghalang pergerakan pemain, Kuala Lumpur FA, Guilherme de Paula Lucrecio pada aksi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin memastikan Kuala Lumpur tidak ketinggalan jauh apabila jaringan melencongnya menewaskan penjaga gol PKNS FC, Mohd Zarif Irfan Hashimuddin sekali gus mengurangkan defisit ketika babak pertama berbaki empat minit.

Bersambung babak kedua, hasrat PKNS FC untuk kembali mendahului dengan dua gol dikecewakan selepas percubaan Alif Haikal Mohd Sabri terkena tiang pada minit ke-53 ketika Kuala Lumpur tampak lebih menguasai permainan untuk memburu gol penyamaan.

Sherman kembali meletakkan PKNS FC berkelebihan dua gol apabila menghasilkan gol kedua peribadinya yang juga gol ketiga buat tuan rumah apabila menewaskan Mohd Faridzuean menerusi satu gelecekan sebelum meledak gol ke dalam gawang kosong pada minit ke-78.

Kuala Lumpur nyata enggan berputus asa apabila Guilherme de Paula kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-81 namun mereka buntu mencari gol ketiga seterusnya membolehkan PKNS FC menarik nafas lega selepas wisel penamat dibunyikan.

685 dibaca
Berita Harian X