Sabtu, 27 April 2019 | 7:45am
Penyerang lincah Liverpool, Mohamed Salah (tengah) dikepung pemain Huddersfield Town pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, pagi tadi. - Foto REUTERS

Gol Mane, Salah julang Liverpool

HUDDERSFIELD TOWN: Sadio Mane dan Mohamed Salah masing-masing meledak dua gol membantu kemenangan besar Liverpool 5-0 ke atas pasukan yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan, Huddersfield Town dalam saingan Liga Perdana Inggeris pagi tadi sekali gus meningkatkan tekanan dalam perebutan gelaran liga ke atas Manchester City.

Liverpool kini mendahului dengan 91 mata, dua mata di depan City, tetapi anak buah Pep Guardiola mampu kembali merampas kedudukan teratas liga jika menewaskan Burnley, esok.

Dalam saingan pagi tadi, Liverpool hanya memerlukan 14 saat untuk membuka jaringan apabila pertahanan Huddersfield, Jon Gorenc Stankovic tersalah hantar bola kepada Salah yang berada di luar petak penalti lalu mengumpan kepada Naby Keita yang mudah menolak masuk gol pendahuluan.

Mane menanduk masuk gol kedua pada minit ke-23, menyudahkan hantaran lintang Andy Robertson dari sebelah kiri selepas Virgil Van Dijk memulakan gerakan memecah kubu lawan dari belakang.


Penyerang Liverpool, Sadio Mane (dua dari kiri) menanduk bola menewaskan penjaga gol Huddersfield Town untuk gol keempat pasukannya pada Liga Perdana Inggeris, pagi tadi. - Foto REUTERS

Salah memastikan Huddersfield ketinggalan 0-3 sebelum rehat selepas menyempurnakan hantaran jauh Trent Alexander-Arnold sekali gus melepasi jangkauan penjaga gol, Jonas Lossl yang sudah terkeluar dari posisinya.

Mane menjaringkan gol keduanya pada minit ke-66 selepas menerima umpanan Jordan Henderson dan hampir mencipta hatrik pada minit ke-78 selepas menanduk hantaran lintang Xherdan Shaqirin namun terkena palang.

Salah memastikan Liverpool mendahului 5-0 di hujung babak kedua dengan menolak mudah hantaran Robertson.

Dalam perlawanan itu, Alex Oxlade-Chamberlain kembali sebagai pemain gantian buat pertama kali selepas berehat akibat kecederaan lutut yang dialami sejak setahun lalu. – Reuters

Berita Harian X