Sabtu, 27 April 2019 | 12:24am
PENGENDALI Man City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

City di landasan, Liverpool bakal kempunan lagi?

KOLUM APA KATA EPL

Pertarungan untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara pasukan Manchester City dan Liverpool sudah semakin menghampiri ke penghujungnya.

Hanya tinggal tiga lagi perlawanan jadi penentuan dengan City hanya perlu memenanginya semua untuk kekalkan kejuaraan.

Ketika ini, kelab pimpinan Pep Guardiola itu sedang mendahului The Reds dengan kelebihan satu mata selepas 35 perlawanan.

Tiga mata terakhir paling berharga diperoleh mereka menerusi aksi di Old Trafford pada awal pagi Khamis lalu.

Perlawanan menentang United itu sememangnya paling menjadi tumpuan. Bukan saja di kalangan penyokong City dan Red Devils, malah Liverpool.

Dalam kalangan tiga pasukan ini, kelihatannya penyokong The Reds paling `luar biasa’ apabila tiba-tiba sanggup `menjadi’ penyokong United.

Ia bukan saja berlaku di Malaysia, malah hampir segenap dunia. Kemeriahan suasana itu amat dirasai terutama menerusi pelbagai platform media sosial.

Paling menyeronokkan apabila beberapa bekas pemain Liverpool turut `mengambil bahagian’ menyemarakkan suasana itu.

Ini tidaklah menghairankan kerana bagi aksi itu The Reds sangat mengharapkan City tumbang bagi membuka ruang kepada mereka berpeluang menjadi juara sekali gus menamatkan kemarau hampir 30 tahun. Lama kan?

Kembali kepada saingan dua gergasi EPL ini. Bagi City, tiga pasukan yang mampu menghalang impian mereka mengekalkan kejuaraan adalah Burnley, Leicester dan Brighton.

Pertemuan dengan Burnley esok di laman lawannya itu, manakala Leicester (7 Mei) dan Brighton (12 Mei).

Bagi Liverpool pula, tiga pasukan `penghalang’ adalah Huddersfield (awal pagi tadi di tempat sendiri), Newcastle (5 Mei di tempat lawan) dan Wolves (12 Mei di Anfield).

Sembilan mata maksimum bakal menobatkan City sebagai juara dengan himpunan 98 mata, manakala Liverpool (97).

Itu perkiraan dua calon kejuaraan liga. Bagaimana pula slot ke Liga Juara-Juara musim depan?

Berdasarkan kedudukan terkini selepas 35 aksi, Tottenham memiliki kelebihan untuk slot ketiga selepas menghimpun 70 mata, mendahului Chelsea dengan tiga mata dan Arsenal (empat mata).

Spurs hanya perlu memenangi dua aksi terakhir iaitu menentang West Ham dan Bournemouth manakala The Blues dan The Gunners perlu memenangi semua aksi. Andai tewas satu, mereka akan tercicir dalam saingan.

Bagaimana pula dengan peluang United? Seperti Chelsea dan Arsenal, mereka juga perlu memenangi tiga baki aksi sambil berharap dua pencabarnya itu tercicir mata.

Red Devils boleh menyemarakkan peluang andai mampu menjinakkan The Blues, esok. Persoalannya, mampukah mereka bangkit selepas tersungkur di laman sendiri dan di kandang jiran Liverpool iaitu Everton?

Dalam pada itu, persaingan untuk terus kekal dalam EPL musim depan, nampaknya hanya antara Cardiff City, Brighton dan Southampton.

Ketika saingan berbaki tiga lagi, Cardiff hanya mampu menghimpun 31 mata, manakala Brighton (34) dan Southampton (37).

Berdasarkan baki jadual, Brighton paling berisiko kerana perlu berdepan Arsenal dan City pada dua aksi terakhir, manakala Cardiff bertemu United saingan terakhir sekali gus menyaksikan Southampton memiliki kelebihan kerana hanya berdepan Bournemouth, West Ham dan Huddersfield.

Sebelum ini Huddersfield dan Fulham sudah mengucapkan selamat tinggal kepada EPL. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Liverpool 5 Huddersfield 0

Tottenham 2 West Ham 1

Southampton 2 Bournemouth 2

Fulham 1 Cardiff 3

Watford 1 Wolves 2

C Palace 1 Everton 3

Brighton 2 Newcastle 2

Liecester 0 Arsenal 3

Burnley 1 Man City 3

Man United 1 Chelsea 1

Berita Harian X