Rabu, 24 April 2019 | 6:13pm
BIBI Ramjani

Bibi Ramjani diminta letak jawatan

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan perlu melepaskan jawatan nombor satu persatuan itu bagi mengelak pasukan Kelantan terus dihimpit dengan pelbagai masalah dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) KLIA, Rozaki Abd Kadir berkata sudah tiba masanya persatuan terbabit mendapat kepimpinan baharu untuk memulihkan kembali imej bola sepak Kelantan.

"Kami sudah bosan dengan kontroversi yang melibatkan KAFA, berbanding kisah kejayaan sepanjang membimbing persatuan itu.

"Banyak isu-isu melibatkan beliau sejak mengambil alih persatuan. Antaranya kegagalan membawa masuk tiga syarikat multinasional, ambil dan gugur pemain secara besar-besar, isu jurulatih (Fajr Ibrahim) dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

Sebelum ini usahawan wanita itu dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018 hingga 2021 pada kongres Tahunan KAFA ke-63 bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang meletak jawatan selepas menerajui persatuan itu selama lapan tahun.

Di bawah pimpinan Annuar, pasukan Kelantan berjaya mecipta sejarah apabila dinobatkan juara berganda pada tahun 2012 apabila menjuarai Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Rozaki berkata menjadi lebih parah kepada pasukan Kelantan apabila KAFA gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pengarah teknikal, Alfredo Gonzales mengakibatkan mereka dipotong tiga mata, sekali gus menyaksikan pasukan berada di tangga paling bawah Liga Perdana.

"Itu tidak termasuk pembatalan kerjasama antara MyInspiration Sdn Bhd dengan KAFA menerusi syarikat KRW Sdn Bhd, tidak sampai tiga bulan membuatkan persatuan itu bertambah teruk,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden ​​The Red Warriors City Club (TRWCC) Rumaizi Ismail berkata semua pihak terutama barisan EXCO tidak sepatutnya berpeluk tubuh ketika pasukan berdepan masalah.

"EXCO harus memainkan peranan mencari jalan bagi memulihkan pasukan, sebagai penyokong kami amat berharap agar tiada campur tangan dari individu yang tidak mempunyai hubung kait dengan Kafa,” katanya.

-- BERNAMA

2039 dibaca
Berita Harian X