Selasa, 23 April 2019 | 10:52am
PENGURUS Arsenal, Unai Emery. - Foto AFP

Emery berdepan dilema pertahanan

LONDON: Unai Emery berdepan dengan dilema pada bahagian pertahanan yang bakal menentukan 'hidup mati' Arsenal terhadap pemburuan penamat empat terbaik kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gunners akan bertandang ke Wolves awal pagi esok (jam 2.45 pagi waktu Malaysia) selepas mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok empat memintas Tottenham, Chelsea dan Manchester United dengan kekalahan 2-3 kepada Crystal Palace, Ahad lalu.

Ia berpunca daripada aksi rapuh jentera pertahanan Arsenal yang melepaskan dua jaringan mudah menerusi gerakan set-piece manakala satu lagi gol hasil kesilapan Shkodran Mustafi.

Emery memilih untuk merehatkan beberapa pemain pada aksi berkenaan selepas mencatat kemenangan di Napoli sebelum itu yang membawa Arsenal ke pentas separuh akhir Liga Europa.

Kini, selepas percaturan itu memakan dirinya, Emery perlu memutuskan sama ada untuk mengekalkan formasi tiga pertahanan yang membolehkan Mesut Ozil menyinar di posisi belakang penyerang, ataupun kembali kepada formasi empat pertahanan.

Taktikal itu terbukti berkesan apabila membantu Arsenal mencatat kemenangan 1-0 ke atas Wolves pada pertembungan terdahulu.

Timbul kemungkinan untuk Nacho Monreal dikembalikan ke posisi pertahanan kiri dan Ainsley Maitland-Niles yang masuk dari bangku simpanan ketika bertemu Palace di posisi bek kanan.

Bagaimanapun, apa yang akan membuat Emery sakit kepala untuk memutuskan sama ada pertahanan veteran, Laurent Koscielny boleh meneruskan persembahan konsisten jika Mustafi direhatkan.

Namun, berita gembiranya Sokratis Papasthopoulos selesai menjalani hukuman penggantungan dua perlawanan dan dijangka terus mendapat kepercayaan.

"Saya mempunyai keyakinan dengan pasukan dan saya mahu terus positif kerana sepanjang musim ini kami bekerja keras untuk sampai ke detik penting ini dengan harapan untuk berada dalam kelompok empat terbaik," kata Emery selepas kekalahan kepada Palace.

"Kami turut mara ke separuh akhir Liga Europa dan kami boleh berbangga dengan pencapaian setakat ini. Berdepan Wolves pastinya sukar tetapi semuanya berbalik pada usaha kami," katanya. - REUTERS

375 dibaca
Berita Harian X