Isnin, 22 April 2019 | 8:39am
PEMAIN Real Madrid, Karim Benzema diasak pemain Athletic Bilbao, Inigo Lekue pada aksi La Liga di Bernabeu. - Foto AFP

Benzema No. 9 terbaik dunia - Zidane

MADRID: Pengendali Real Madrid Zinedine Zidane meletakkan Karim Benzema sebagai pemain nombor sembilan terbaik dalam dunia bola sepak selepas penyerang Perancis itu meledak hatrik dalam kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao di Bernabeu.

Hatrik berkenaan melebarkan jaringannya dalam La Liga musim ini kepada 21 gol, melonjak ke tangga kedua di belakang Lionel Messi, dan 30 gol keseluruhan dalam semua pertandingan.

Pemain berusia 31 tahun itu juga adalah penjaring lapan gol terakhir Real.

“Saya tahu Benzema pemain yang bagaimana, semua orang tahu. Jumlah jaringannya amat menakjubkan,” kata Zidane. 

“Apa yang dia lakukan, dan hakikat yang dia hanya kurang dua gol untuk jumlah jaringan terbaiknya, memberi gambaran sebenar. Semua orang boleh mempunyai pendapat tentang siapa pemain nombor sembilan terbaik dan bagi saya ia adalah Karim.


PEMAIN Real Madrid, Karim Benzema meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Athletic Bilbao pada aksi La Liga di Bernabeu. - Foto AFP

“Dia berkeyakinan, dia juga sedar anda mampu menjadi lebih baik, dan ia sangat hebat. Ia tidak mengejutkan saya apa yang dia lakukan.”

Zidane bagaimanapun hairan dengan sikap penyokong terhadap Gareth Bale selepas mereka mengejek pemain Wales itu.

Bale digugurkan oleh Zidane daripada kesebelasan utama dalam dua perlawanan terakhir La Liga, dan hanya sekali memulakan perlawanan daripada empat perlawanan terakhir, dan kini belum menjaringkan gol dalam enam perlawanan setakat ini.

Dia dimasukkan ketika permainan berbaki 20 minit, dan beberapa sentuhan awalnya disusuli ejekan oleh penyokong di Bernabeu.

Bagaimanapun Isco yang dimasukkan pada waktu yang sama, diberi tepukan oleh penyokong.

Bale mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi percubaannya melepasi palang. Namun dia menebusnya dengan mengumpan bola untuk gol ketiga Benzema. – REUTERS

 

1211 dibaca
Berita Harian X