Isnin, 22 April 2019 | 7:56am
PEMAIN Crystal Palace, Wilfried Zaha (tengah) diasak pemain Arsenal, Ainsley Maitland-Niles (kanan) dan Shkodran Mustafi pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam tadi. - Foto AFP

Arsenal merana angkara benteng rapuh

LONDON: Unai Emery menegaskan Arsenal masih berpeluang menempatkan diri di kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris biarpun tewas 2-3 di gelanggang sendiri di tangan Crystal Palace malam tadi.

Skuad Emery menanggung padah susulan kerapuhan benteng pertahanan di Stadium Emirates sekali gus menyaksikan harapan mereka memburu slot layak ke Liga Juara-Juara kembali berada dalam bahaya.

The Gunners, yang turut berpeluang dalam kempen Liga Europa, ketinggalan pada babak pertama sejurus Christian Benteke meledak gol pertama pelawat sebelum Mesut Ozil menyamakan kedudukan.

Namun kesilapan Shkodran Mustafi memberi peluang kepada Wilfried Zaha meledak gol kedua.

James McArthur kemudian pantas menyambar peluang hasil kesilapan pertahanan Arsenal untuk menjaringkan gol ketiga.

Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang gol tetapi ia sudah terlambat untuk menyekat Palace mencatat kemenangan pertama mereka ke atas Arsenal sejak Oktober 1994.

"Ia satu kekesalan yang besar, kerana kami terlepas peluang terbaik. Kita tidak melakukan set pieces, dan kita tidak kuat seperti kebiasaannya,” kata Emery.


PEMAIN Crystal Palace, James McArthur diasak pemain Arsenal, Konstantinos Mavropanos pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam tadi. - Foto Reuters

"Gol kedua yang dibolosi sangat teruk untuk kita dan ia menyentap keyakinan kami.”

Arsenal kekal di tangga keempat berkonsgi 66 mata dengan Chelsea yang akan berdepan Burnley awal pagi esok (jam 3 pagi waktu Malaysia).

Kekalahan pertama Arsenal di Emirates itu memaksa mereka tidak boleh keciciran apabila berkunjung ke gelanggang Wolves dan Leicester minggu ini.

Namun Emery yakin pasukannya mampu menamatkan cabaran di kelompok empat teratas.

"Kami masih ada peluang mencapai sasaran layak ke Liga Juara-Juara menerusi sama ada Liga Perdana ataupun Liga Europa," katanya.

"Setakat ini, kami masih ada harapan dan jika kami menang ke atas Wolverhampton, peluang itu dalam genggaman kami." – AFP

Berita Harian X