Ahad, 21 April 2019 | 11:21pm
Pemain Melaka United, Anselmo Casagrande (tengah) meraikan jaringan gol pertama minit ke-49 ketika menentang Kedah pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

Gol tunggal Casagrande lonjak MU

MELAKA: Melaka United (MU) menamatkan deretan badi tiga kekalahan apabila meraih kemenangan tipis menewaskan Kedah 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Gol tunggal perlawanan diperoleh menerusi tandukan pemain import dari Brazil Anselmo Casagrande pada babak kedua.

Selepas menampilkan aksi hambar di awal permainan, pelawat melakukan percubaan pada minit ke-23 menerusi pemain importnya Jonatan Bauman disusuli cubaan kapten pasukan Baddrol Bakhtiar seminit kemudian tetapi diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Dua gerakan terbabit jelas membuka nafsu pelawat untuk terus mengasak hebat ke kubu tuan rumah  sekali gus menguasai permainan tetapi dua cubaan susulan Baddrol menerusi sepakan percuma juga gagal memecah kebuntuan.


Pemain Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kanan) dihalang pemain Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (kiri) pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

Peluang terbaik buat MU hanya hadir pada minit ke-38 namun tandukan Patrick Reichelt berpunca hantaran Deevan Raj sedikit tinggi di kanan gawang Helang Merah.

Enggan igauan ngeri tiga kekalahan lalu terus menghantui, skuad tuan rumah bertekad menebus aksi kurang menarik pada babak pertama untuk tampil lebih kemas pada separuh masa kedua di depan lebih 6,000 penyokong setia.

Hasilnya Hang Tuah menampilkan  kebangkitan apabila Casagrande menanduk masuk gol tunggal perlawanan menerusi sepakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-49.

Pemain gantian Nazrin Nawi hampir menambah gol kedua pada minit ke-67 namun sepakan percumanya berjaya ditepis keluar penjaga gol pelawat Mohd Ifwat Akmal.

Kemenangan terbabit nyata amat melegakan tuan rumah selepas keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini termasuk tewas 0-1 di tangan PKNP FC minggu lalu.


Pemain Melaka United, Anselmo Casagrande (tengah) meraikan jaringan gol bersama pasukannya ketika menentang Kedah pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

1769 dibaca
Berita Harian X