Sabtu, 20 April 2019 | 11:04pm
Pemain JDT, Safawi Rasid (kiri) diasak pemain PKNS FC, Romel Oswaldo Morales ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT berjaya balas dendam

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus memimpin takhta Liga Super selepas menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

 Apa yang pasti ia kemenangan ke-25 berturut-turut dalam saingan liga sejak musim 2017 tatkala beraksi di Larkin malah menebus kehampaan skuad Harimau Selatan yang tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 0-1 kepada lawan sama, Selasa lalu.

 Dua gol yang dicipta pada babak pertama menerusi jaringan Afiq Fazail dan Gonzalo Cabrera hasil sepakan penalti dan jaringan SAfawi Rasid di babak kedua menyaksikan JDT kini mengumpul 26 mata dengan mengekalkan rekod tanpa selepas mengharungi 10 perlawanan liga.

 Tuan rumah turun tanpa kelibat kapten Hariss Harun yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning dan tempatnya diganti oleh Syamer Kutty Abba yang beraksi konsisten untuk menyekat bahagian tengah anak didik Datuk K Rajagobal.

 Selepas bermula garang sejak perlawanan bermula, JDT tidak menunggu lama untuk merungkai jaringan apabila berpunca daripada sepakan sudut Safawi pada minit kelapan tepat kepada Afiq Fazail yang merembat bola kencang di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

 Tuan rumah meneruskan usaha menambah jaringan meraih sepakan penalti selepas pengadil perlawanan Nazmi Nasaruddin berjaya mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan PKNS FC berpunca daripada bola sepakan Gonzalo Cabrera.


Pemain JDT, Diogo Luis Santo (kiri) berebut bola dengan pemain PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan penalti tenang merembat bola ke penjuru kanan gol pada minit ke-14 yang menewaskan Zarif Irfan untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Pada aksi babak kedua, JDT menggandakan asakan untuk memburu gol ketiga namun jaringan Safawi pada minit ke-46 dibatalkan selepas ofsaid.

Namun pelawat tampak tidak mahu mengalah apabila bangkit untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-48 hasil jaringan menarik Gabriel Guerra yang merembat bola tepat ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Sedar pelawat mula garang untuk memburu gol penyamaan, barisan serangan JDT berusaha untuk menambah jaringan dan hasilnya pada minit ke-85 berpunca daripada bola lorongan Cabrera membuka ruang buat Safawi merembat bola leret untuk memastikan kemenangan 3-1 memihak JDT.

Berita Harian X