Sabtu, 20 April 2019 | 9:15pm
PERTAHANAN Liverpool, Virgil Van Dijk (kiri) dan Pemain Manchester City, Raheem Sterling jadi calon pilihan PFA.

City, Reds dominasi senarai pendek Pemain Terbaik PFA

LONDON: Manchester City dan Liverpool mendominasi senarai pendek anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Inggeris (PFA) dengan pertahanan Belanda, Virgil Van Dijk dan penyerang England, Raheem Sterling dilabel calon pilihan.

Daripada enam pemain yang disenarai pendek, City mempunyai tiga calon diketuai Sterling, Sergio Aguero dan Bernardo Silva.

Liverpool pula memiliki dua wakil diketuai kapten Belanda, Van Dijk dan penyerang Sadio Mane manakala pemain Chelsea, Eden Hazard melengkapkan senarai pencalonan bagi kempen 2018-19.

Pemenang bagi anugerah berkenaan akan diumumkan pada 28 April ini dalam satu majlis, di sini.

Van Dijk yang dibeli Reds dari Southampton pada Januari 2018 menjadi tonggak di bahagian pertahanan Liverpool dan membantu kelab itu mengharungi 18 perlawanan tanpa bolos musim ini.

Selain turut meledak tiga gol, gawang Liverpool hanya bolos 20 kali, paling sedikit dalam kempen Liga Perdana musim ini.

Pemain kebangsaan Senegal, Mane yang turut tersenarai disamping rakan sepasukannya dan pemenang, Mohamed Salah musim lalu menikmati musim yang menakjubkan bersama skuad Jurgen Klopp bagi kempen 2018-19 selepas menjaringkan 18 gol.

Sterling pula menjadi antara tonggak skuad kendalian Pep Guardiola selepas meledak 17 gol selain sembilan umpanan musim ini.

Selain itu, Sterling dan Silva yang kedua-duanya berusia 24 tahun turut disenarai pendek bagi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA.

Turut bersaing bagi kategori berkenaan ialah pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, pemain tengah West Ham, Declan Rice, tonggak sayap Bournemouth, David Brooks dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford.  - AFP

510 dibaca
Berita Harian X