Sabtu, 20 April 2019 | 12:00am
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola (kanan) bersama pengurus Tottenham Hotspur, Mauriccio Pochettino.

Aksi 'hidup mati' penyandang juara

KOLUM APA KATA EPL

LIVERPOOL dan Manchester City melalui situasi berbeza pertengahan minggu ini pada saingan suku akhir Liga Juara-Juara. The Reds bersama penyokongnya sudah pasti tersenyum bangga mara ke separuh akhir selepas mengenepikan Porto manakala City pula dihambat duka apabila disingkirkan Tottenham Hostpur.

Dengan semangat yang berbeza ini, mereka kembali ke kancah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini dengan satu lagi misi ingin dicapai iaitu mengukuhkan peluang merangkul kejuaraan piala berprestij itu.

Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp gah dipersada dengan himpunan 85 mata menerusi 34 aksi, manakala City selaku penyandang juara, ketika ini berada di tangga kedua dengan mengumpul 83 mata hasil 33 perlawanan.

Bagi saingan minggu ini, anak buah Klopp dianggap berdepan aksi mudah apabila bertemu Cardiff City di laman lawannya itu. Sebaliknya, City pula akan menyambut kunjungan seteru sama di Eropah iaitu Tottenham Hotspur.

Ini adalah pertembungan ketiga berturut-turut buat kedua-dua pasukan ini dalam tempoh 11 hari bagi semua pertandingan. Pada aksi pertama 9 April lalu bagi saingan Liga Juara-Juara di stadium baharu Spurs, tuan rumah menang 1-0.

Pada aksi kedua di Etihad awal pagi Khamis lalu, City pula memenanginya dengan 4-3. Namun anak buah Pep Guardioa kurang bernasib baik apabila tersingkir dari pentas separuh akhir kerana perbezaan jaringan di tempat lawan.

Jam 7.30 malam ini, waktu Malaysia mereka membuat perhitungan lagi di Etihad. Dan kali ini, misinya pula berbeza namun tiga mata jadi sasaran. City memburu mata penuh untuk kekal dilandasan kekal kejuaraan manakala Spurs mahu kekal dalam kelompok empat terbaik liga.

Tatkala anak buah Mauriccio Pochettino dipuncak keseronokan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara bertemu Ajax, City pula jelas masih tercari-cari ramuan mujarab bagi membangkitkan motivasi untuk aksi tumpuan liga minggu ini.

Persoalannya, mampukah City bangkit dan membalas dendam ke atas Spurs? Ini yang menarik untuk disaksikan. Namun hakikatnya, City perlu memenangi perlawanan ini. Andai tewas atau seri, mereka seolah-olah sudah `menyerahkan’ trofi kejuaraan kepada Liverpool.

Jika menyorot tiga aksi terakhir liga, City jelas unggul dengan memenanginya semua manakala Tottenham pula memiliki rekod buruk, apabila hanya menang dan seri sekali dalam lapan aksi terakhir menentang lawannya itu. Saya jangkakan aksi menggelegak bakal disajikan, namun kelebihan tetap menjadi milik City.

Selepas Spurs, City akan berdepan satu lagi ujian besar minggu depan iaitu bertemu jirannya, Manchester United (25 April), sebelum disusuli Burnley (28 April), Leicester (4 Mei) dan Brighton (12 Mei).

Bagaimana pula peluang Liverpool? Selepas mengesahkan pertemuan dengan Barcelona pada 2 Mei ini, mereka harus memastikan mata penuh ke atas Cardiff. Perlawanan ini harus diberi perhatian Klopp kerana lawannya itu perlu meraih mata untuk mengelak dari tersingkir dari liga.

Selepas Cardiff, aksi lain menanti The Reds adalah Huddersfield (27 April), Newcastle (5 Mei) dan Wolves (12 Mei).

Sementara itu, Arsenal yang menduduki tangga keempat liga dijangka tiada masalah mengatasi Crystal Palce untuk meraih mata penuh, manakala Chelsea setakuk di atas, berdepan tugas agak berat apabila melayan kunjungan Burnley.

United yang mudah dijinak Barcelona aksi Liga Juara-Juara, berdepan Everton dengan aksi itu wajib mereka menang untuk menghidupkan terus peluang berada dalam kelompok empat terbaik. Selamat menonton.

RAMALAN MINGGU INI

Man City 3 Tottenham 1

Huddersfield 2 Watford 2

West Ham 2 Leicester 2

Bournemouth 1 Fulham 1

Wolves 1 Brighton 1

Newcastle 2 Southampton 2

Everton 1 Man United 2

Cardiff 1 Liverpool 3

Arsenal 2 Crystal Palace 1

Chelsea 2 Burnley 1

Berita Harian X