Jumaat, 19 April 2019 | 10:58pm
PENYERANG Juventus, Moise Kean (kiri) dan Cristiano Ronaldo ketika aksi menentang Ajax. - Foto AFP

Ronaldo terus komited bersama Juve

MILAN: Cristiano Ronaldo terus komited kepada Juventus musim depan walaupun kecewa selepas gergasi Itali itu gagal dalam saingan Liga Juara-Juara, kata jurulatihnya, Massimiliano Allegri hari ini.

Skuad Allegri yang dilanda kecederaan akan menanti kehadiran Fiorentina esok dengan hanya memerlukan satu mata untuk merangkul gelaran kelapan berturut-turut Serie A, beberapa hari selepas kekalahan mengejut 2-1 di laman sendiri kepada skuad dari Belanda yang menyaksikan mereka tersingkir menerusi agregat 3-2.

“Cristiano ialah masa depan Juventus. Dia beraksi dengan sangat baik tahun ini dan akan melakukan perkara sama musim depan, sudah pasti dia kecewa sama seperti kami semua tetapi dia tenang menghadapinya,” kata Allegri.

“Cristiano melalui musim yang menakjubkan dan akan bermain esok.”

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu berhasrat meraih gelaran Liga Juara-Juara buat kali keenam bagi menambah empat gelaran bersama Real Madrid dan satu bersama Manchester United.

Dia menjaringkan enam daripada 14 gol Liga Juara-Juara pasukannya musim ini dan 19 dalam Serie A, empat di belakang penjaring terbanyak Fabio Quagliarella.

“Kedatangan Ronaldo tidak memberikan kami kepastian akan menang Liga Juara-Juara,” kata Allegri.

“Barcelona mara ke separuh akhir tahun ini buat pertama kali selepas empat tahun dan mereka memiliki (Lionel) Messi. Bola sepak bukanlah mengenai individu.

“Kami perlu melupakan kekecewaan itu.” - AFP

1802 dibaca
Berita Harian X