Jumaat, 19 April 2019 | 7:03pm
Nik Akif Syahiran Nik Mat. - Foto Zaman Huri Isa

Nik Akif Syahiran kena gantung 2 perlawanan

 

KUALA LUMPUR: Selepas kemelut melanda pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), kem Kelantan terus dirundum malang apabila pemain tengahnya, Nik Akif Syahiran Nik Mat digantung dua perlawanan.

Nik Akif didapati melanggar Artikel 50.1(d), dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana berkelakuan ganas apabila menumbuk perut pemain Sarawak, Mohd Badrul Hisham Mohamad Hussein.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, selain hukuman penggantungan, Nik Akif juga diberi amaran keras dan tindakan lebih berat boleh dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

"(Hukuman) perlawanan Liga Perdana antara Kelantan dan PDRM pada 12 April 2019 (penggantungan perlawanan secara automatik).

"Seterusnya hukuman akan membabitkan aksi Liga Perdana antara Kelantan menentang Negeri Sembilan pada 20 April 2019," katanya.

Dalam mesyuarat jawatankuasa itu semalam, tiga pemain yang kini beraksi dalam saingan M3 turut dikenakan hukuman penggantungan.

Pemain Tun Razak FC, Mohammad Firdaus Yusof digantung empat perlawanan dan denda RM500 kerana melanggar Artikel 51 dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM kerana menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil ketika aksi menentang Puchong Fuerza FC, 24 Mac lalu.

Pemain  SAMB FC, Jasmir Mehat digantung enam perlawanan namun tiga daripada jumlah hukuman itu ditangguh terlebih dulu tertakluk kepada kelakukan baik pemain berkenaan dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan.

Sementara itu, pemain DDM FC, Muhammad Rizqi Azman urut senasib dengan Jasmir namun dia didapati melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM kerana berkelakuan ganas, sengaja memukul bahagian leher pemain Puchong Fuerza, Zulkefli Baharuddin.

 

 

629 dibaca
Berita Harian X