Jumaat, 19 April 2019 | 7:32am
Alexandre Lacazette meledak gol tunggal untuk membolehkan Arsenal membenam Napoli 1-0 pagi tadi. - Foto AFP

Lacazette bantu kemaraan Arsenal

NAPLES: Alexandre Lacazette meledak gol tunggal untuk membolehkan Arsenal membenam Napoli 1-0 pagi tadi sekali gus mara ke pentas separuh akhir Liga Europa dengan kemenangan agregat 3-0.

Sepakan percuma menarik Lacazette pada minit ke-36 meletakkan kelab England itu menempah aksi empat terakhir menentang Valencia.

"Saya tidak tahu jika ia adalah persembahan terbaik kami pada musim ini, tetapi ia agak bagus, selepas kami menewaskan Watford Isnin lalu,” kata pengendali Arsenal, Unai Emery.

"Objektif kami adalah untuk menghasilkan gol, kami berjaya lakukannya untuk menang dan konsisten sepanjang 90 minit. Saya amat bangga dengan pemain dan usaha keras mereka.”

Penyingkiran skuad kendalian Carlo Ancelotti itu bermakna sudah berakhir perjuangan kelab Itali dalam kempen pertandingan Eropah itu.


Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti (kiri) memerhatikan pemainnya dalam perlawanan Liga Europa di Stadium San Paolo, Naples, Itali. - Foto EPA

Pemain Napoli, Allan bersaing dengan pemain Arsenal, Granit Xhaka dalam aksi Liga Europa di Stadium San Paolo, Naples, Itali. - Foto Reuters

Pemain Napoli, Jose Callejon (kanan) berebut bola dengan pemain Arsenal, Alex Iwobi dalam saingan Liga Europa di Stadium San Paolo, Naples, Itali. - Foto EPA

"Saya tahu ia akan menjadi sukar dan maafkan kami kerana tiada lagi wakil Itali," kata Ancelotti selepas Juventus turut terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara di tangan Ajax, kelmarin.

Pasukan bimbingan Emery tidak berdepan masalah untuk menewaskan skuad tuan rumah itu walaupun tertekan beraksi di depan kira-kira 40,000 penyokong yang membanjiri Stadio San Paolo selain tempang apabila pemain tengahnya, Aaron Ramsey diusung keluar selepas setengah jam perlawanan susulan kecederaan hamstring.

Napoli mendapat peluang terlebih dulu selepas 17 minit aksi dengan Kalidou Koulibaly melancarkan serangan kilat, sebelum melorongkan bola kepada Jose Callejon tetapi percubaan lemah itu diselamatkan oleh penjaga gol Arsenal, Petr Cech.

Ramsey mengalami kecederaan pada minit ke-33 dengan Henrikh Mkhitaryan masuk menggantikan pemain antarabangsa Wales itu.

Bintang Armenia itu pantas mencipta gol buat Lacazette selepas dijatuhkan oleh Piotr Zielenski 30 meter dari pintu gol Napoli yang kemudiannya disudahkan dengan baik. - AFP

Berita Harian X