Khamis, 18 April 2019 | 8:07am
Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min. - Foto Reuters

Terima kasih VAR: Heung-min

MANCHESTER: Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui kejayaan di suku akhir Liga Juara-Juara pasukannya menentang Manchester City adalah perlawanan paling gila pernah diharunginya.

Dalam salah satu perlawanan paling dramatik dalam sejarah Liga Juara-Juara, Heung-min meledak dua kali dalam tempoh tiga minit di awal babak pertama untuk meletakkan Tottenham 2-1 di depan pada aksi timbal balik di Stadium Etihad.

City sebelum itu membuka jaringan menerusi Raheem Sterling seawal minit keempat, dan Bernardo Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-11 sebelum Sterling kembali meletakkan pasukannya di depan 10 minit kemudian.

Skuad kendalian Pep Guardiola seakan selesa melangkah ke separuh akhir apabila mendahului 4-2 susulan jaringan Sergio Aguero pada minit ke-59, namun Fernando Llorente memastikan kemenangan Tottenham secara agregat dengan gol ketiga yang terpaksa menunggu keputusan VAR.

Spurs sekali lagi terpaksa mengharapkan keputusan VAR apabila gol saat akhir Sterling dibatalkan kerana Aguero berada dalam kedudukan ofsaid.

Secara keseluruhan lima gol dijaringkan dalam tempoh 21 minit pertama – rekod lima gol paling pantas dalam sejarah Liga Juara-Juara.

“Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini, ia perlawanan yang sangat sukar, perlawanan yang gila. Tetapi kami amat bangga dengan rakan sepasukan,” kata Heung-min.

“Kadang-kadang anda terganggu dengan VAR tetapi hari ini ‘terima kasih dan keputusan yang baik’.”

Skuad kendalian Mauricio Pochettino hanya 12 minit sebelum disingkirkan di peringkat kumpulan sebelum bangkit mengatasi PSV Eindhoven.

Kini mereka mara ke separuh akhir pertama piala tertinggi Eropah itu sejak Piala UEFA 1984. - AFP

Berita Harian X