Khamis, 18 April 2019 | 8:06am
Pengadil Cuneyt Cakir menyaksikan video VAR sebelum memberikan gol kepada Tottenham Hotspur yang dijaringkan Fernando Llorente. - Foto Reuters

VAR sekat impian Man City

MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan VAR memastikan 'bola sepak yang adil' meskipun Manchester City tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara dengan cara yang kejam menerusi kelebihan gol tempat lawan selepas terikat agregat 4-4 dengan Tottenham.

City mencatat kemenangan 4-3 dalam aksi timbal balik kedua pagi tadi, namun buat musim ketiga-tiga berturut-turut gagal mara ke separuh akhir di bawah Guardiola selepas keputusan VAR berpihak kepada Spurs.

Bermula dengan jaringan Fernando Llorente 17 minit sebelumtamat, bola kelihatan terkena tangan penyerang Spurs itu sebelum menggegar gawang.

Kemudiannya pada waktu kecederaan, Raheem Sterling seakan melengkapkan gol hatriknya, namun jaringan City itu dibatalkan selepas Sergio Aguero dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid ketika membuat gerakan berkenaan.

"Saya menyokong penggunaan VAR. Ia hanya untuk melihat sama ada gol Llorente terkena tangan. Daripada satu sudut ia seakan terkena tangan, daripada sudut pengadil ia tidak terkena," kata Guardiola.

"Saya terima seadanya untuk bola sepak yang adil, untuk keputusan yang adil. Jika ianya ofsaid, ia tetap ofsaid. Ia akan kekal adil di masa depan dan juga ketika ini."

Kegagalan itu, bererti pemburuan empat gelaran City dalam semusim berakhir dan Guardiola menyalahkan kesilapan pemainnya dalam kedua-dua perlawanan sebagai punca.

Ia termasuk kegagalan Aguero menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi pertama di London.

"Ia adalah sukar. Kami amat hampir untuk layak. Ia amat kejam, tetapi kami perlu menerimanya," kata Guardiola.

Dua lagi gol City aksi berkenaan masing-masing dihasilkan oleh Bernardo Silva pada minit ke-11 dan Aguero (m-59) manakala Son Heung-Min meledak dua jaringan Spurs pada minit ketujuh dan kesepuluh. - AFP

Berita Harian X