Khamis, 18 April 2019 | 7:48am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

Klopp tidak sabar jumpa Barca

PORTO, Portugal: Jurgen Klopp mengakui dia tidak sabar untuk membimbing Liverpool pada pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona selepas melihat anak buahnya membelasah Porto 4-1 di Portugal untuk kemenangan agregat 6-1.

Sadio Mane membuka jaringan di Estadio do Dragao pada minit ke-26, namun terpaksa menunggu lama untuk pengesahan gol oleh ulang tayang VAR.

Berbekalkan kemenangan 2-0 di Anfield pada pertemuan pertama, Liverpool sepatutnya sudah selesa dengan jaringan Mane, namun Mohamed Salah, pemain gantian Roberto Firmino dan Virgil van Dijk menambah jaringan selepas rehat.

Eder Militao menjaringkan gol tunggal tuan rumah ketika perlawanan berbaki 21 minit, namun ia ibarat ulangan kekalahan 5-0 kepada lawan sama setahun lalu di gelanggang itu.

Liverpool akan bertemu Barca yang diperkuat Lionel Messi, pertemuan pertama antara kedua-dua kelab berkenaan sejak musim 2006-07 di mana Liverpool menang aksi 16 terakhir itu berdasarkan gol di tempat lawan.


Sadio Mane (kiri) membuka jaringan di Estadio do Dragao pada minit ke-26. - Foto AFP

Pemain pertahanan Porto, Felipe (kiri) berdepan dengan Mohamed Salah dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Dragao, Porto. - Foto AFP

“Saya tidak sabar menantinya. Berita mengenai perlawanan bola sepak sebenar antara Barcelona dan Liverpool amat hebat,” kata Klopp yang selangkah lagi untuk menyamai pencapaian mara ke final setahun lalu.

“Mara ke separuh akhir buat tahun kedua berturut-turut membawa mesej yang kuat. Saya amat bangga dengan pemain-pemain dan apa yang mereka lakukan.”

Ini adalah perlawanan ke-17 tanpa kekalahan dan kemenangan kelapan berturut-turut, walaupun Barcelona adalah lawan yang jauh lebih kuat berbanding Porto.

Pertembungan separuh akhir pertama akan berlangsung dua minggu lalu, dan Liverpool boleh kembali memberi fokus kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris di mana Cardiff City dan Huddersfield Town menanti mereka. – AFP 

Berita Harian X