Khamis, 18 April 2019 | 12:44am
GAMBAR fail, Mohamed Salah meraikan jaringan golnya ketika menentang Chelsea pada Liga Perdana Inggeris, Isnin lalu. - Foto EPA

Akhbar lapor Salah mahu tinggalkan Liverpool

LIVERPOOL: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah meminta untuk meninggalkan Liverpool pada musim panas ini menurut laporan sensasi akhbar Sepanyol.

Pemain Mesir itu menyerlah sejak menyertai kelab Merseyside itu dari Roma pada 2017, mengetuai barisan penyerang Reds dan menjaringkan 66 gol dalam 97 perlawanan.

Salah menjadi hero dalam kalangan penyokong Liverpool namun menurut akhbar AS, pemain berusia 26 tahun itu mahu meninggalkan kelab pada penghujung musim selepas perbincangan dengan Jurgen Klopp.

Laporan itu timbul hari ini, beberapa jam sebelum Liverpool bertemu Porto pada pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara.

Akhbar berkenaan mendakwa selepas berbincang dengan Klopp, Salah tidak gembira dan mengancam ketua kelab dengan mengatakan dia mahu berhijrah.

AS rmelaporkan bahawa pengurusan tertinggi Liverpool masuk campur dan memujuknya untuk tidak melakukannya.

Tapi sebagai balasan, mereka berjanji akan membantu perpindahan berkenaan jika Salah tidak mengubah pendiriannya antara sekarang hingga Mei.

Salah menjadi sasaran Real Madrid musim panas lalu tetapi dia menolak perpindahan ke Bernabeu dan meneruskan setahun lagi di Merseyside. - Agensi

4131 dibaca
Berita Harian X