Rabu, 17 April 2019 | 8:04am
Lionel Messi menyumbat gol kedua ketika aksi bertemu Manchester United dalam saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Camp Nou, Barcelona. - Foto Reuters
Pemain Barcelona, Arturo Vidal (kanan) mengasak pemain Manchester United, Alexis Sanchez dalam aksi perlawanan di Camp Nou, Barcelona. - Foto Reuters
Aksi Lionel Messi yang melakukan sepakan gunting ke arah gawang United. - Foto Reuters

Barcelona singkir United

BARCELONA: Lionel Messi menghasilkan sentuhan berbisanya dalam kempen Liga Juara-Juara selepas membantu Barcelona mara ke separuh akhir selepas menewaskan Manchester United 3-0 dalam saingan suku akhir kedua, pagi tadi.

Barca, mara dengan agregat 4-0 dan bakal bertemu sama ada Porto atau Liverpool.

Messi yang gagal menjaringkan gol dalam 12 penampilan suku akhir terakhirnya memperlihat aksi berbeza kali ini dengan menyumbat gol pertama tuan rumah pada minit ke-16 selepas menyambar hantaran lemah Ashley Young.

Empat minit kemudian, penyerang Argentina itu sekali lagi melepasi pertahanan United untuk meledak gol kedua dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat, David de Gea.

Philippe Coutinho melengkapkan malam gemilang Barca pada babak kedua menerusi sepakan lencong yang singgah ke bucu gawang United.


Philippe Coutinho (7) menjaringkan gol ketiga untuk Barcelona. - Foto Reuters

"Ini adalah persembahan paling menakjubkan, inilah persembahan kami sebenar,” kata Messi kepada wartawan.

"Lima minit pertama kami agak perlahan dan gemuruh sedikit, kemudian kami berjaya menguasai permainan.”

Skuad Ole Gunnar Solskjaer yang tewas 0-1 di Old Trafford memerlukan kemenangan di Nou Camp untuk terus membina kejayaan.

"Kami melakukan segala-galanya untuk ke sini tetapi kita boleh melihat perbezaan antara dua pasukan ini.

“Kami bermula baik dalam 15 minit pertama dan mampu mendapat rentak tetapi mereka menjaringkan dua gol,” kata Solskjaer.


Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer (kiri) bertemu Lionel Messi selepas tamat perlawanan. - Foto Reuters

"Pada peringkat ini kamu tidak boleh keciciran dan tidak boleh melakukan kesilapan. Kami tidak memanfaatkan peluang besar yang kami ada,  kemudian mereka menyumbat dua gol dan ia sudah berakhir.”

United jelas muram dan Messi pula nyaris menghukum mereka sebelum rehat, namun De Gea sempat menangkis cubaan Sergi Roberto.

Pada babak kedua, De Gea menjadi mangsa ejekan penyokong Barca yang menguasai permainan sebelum Coutinho meledak gol sensasi ketiga.

Pada hujung saingan, penjaga gol Barca, Marc-Andre Ter Stegen menyelamatkan tandukan Alexis Sanchez bagi memastikan pelawat pulang hampa. - Reuters

3216 dibaca
Berita Harian X