Selasa, 16 April 2019 | 11:48am
PEMAIN Tottenham Hotspur, Son Heung-min (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan, Lucas Moura. - Foto EPA

Son selesa tanpa Kane

LONDON: Son Heung-min menegaskan dia sudah membuktikan kemampuannya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Harry Kane dalam pertembungan Liga Juara-Juara Tottenham menentang Manchester City esok (awal pagi Khamis).

Skuad kendalian Mauricio Pochettino bertandang ke Stadium Etihad untuk aksi timbal balik Liga Juara-Juara dengan misi mempertahankan kelebihan 1-0.

Tetapi misi berkenaan tampak lebih sukar dengan kecederaan menimpa Kane dan Dele Alli.

Kane dijangka terlepas baki saingan musim ini selepas penyerang itu cedera ligamen pergelangan kaki ketika perlawanan pertama menentang City, manakala pemain tengah England Alli retak tulang tangan pada perlawanan sama.

Kehilangan dua pemain utama itu menjelang penentuan hidup mati dengan juara Liga Perdana Inggeris sesuatu yang memeritkan buat mana-mana pasukan.

Tetapi penyerang Korea Selatan Heung-min membuktikan musim ini yang bermain tanpa Kane tidak menjejaskan impian Eropah pasukannya.

Heung-min meledak sembilan gol dalam 10 perlawanan tanpa kelibat Kane musim ini dan dia berkata: “Saya hanya menikmati bola sepak. Setiap orang, bukan saja saya, perlu menikmati permainan dan menjaringkan gol dan menang.

“Kita tidak boleh meletakkan tekanan ke atas diri sendiri dalam situasi sebegini. Tidak ada apa yang lebih baik berbanding suku akhir Liga Juara-Juara ketika ini.”

Ketika Hugo Lloris memainkan peranan kerana menyelamatkan sepakan penalti Sergio Aguero, perlawanan suku akhir lalu dimenangi hasil rembatan minit ke-78 Heung-min selepas Kane dikeluarkan.

Malah Tottenham memenangi lima perlawanan terakhir mereka tanpa Kane dan Heung-min tampak berada pada prestasi terbaik untuk mengekalkan rentaknya sekali gus mengecewakan City.

Penyerang 26 tahun itu turut meledak gol pertama Tottenham di stadium baharu ketika menentang Crystal Palace.

Enam hari kemudian dia menggamatkan suasana stadium berkapasiti 62,062 penonton itu ketika membenam City. – AFP

 

Berita Harian X