Selasa, 16 April 2019 | 9:24am
Jordan Henderson meyakinkan Klopp untuk memberikannya kebebasan bergerak di atas padang. - Foto Reuters

Henderson selesa dibebas Klopp

LONDON: Jordan Henderson memberi impak besar di barisan tengah Liverpool selepas meyakinkan pengendalinya, Jurgen Klopp untuk memberikannya kebebasan bergerak di atas padang.

Henderson menghabiskan sebahagian besar kariernya sebagai sokongan kepada rakan sepasukan lebih popular bersama Liverpool dan England.

Tetapi pemain 28 tahun itu mendapat kepercayaan Klopp sepenuhnya dan akan menghadapi aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Porto sebagai tonggak utama Liverpool yang memburu kejuaraan berganda musim ini.

Prestasi Henderson semakin meningkat sejak pengendali dari Jerman itu mengambil alih pasukan pada tahun 2015, dan diberi kepercayaan untuk menjadi kapten.

Walaupun di dalam perancangan Klopp dia kekal sebagai pemain tengah bertahan, Henderson mengidam tugas lebih besar dalam pasukan di bahagian serangan.

Diberi peluang membantu jentera serangan England ketika kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Montenegro, Henderson tampil luar biasa.

Kembali ke Anfield, dia meminta Klopp memberikan peranan sama kepadanya dan selepas perlawanan di Old Trafford menentang Manchester United, di mana Henderson berang apabila dikeluarkan, Klopp menurut kemahuannya untuk bermain lebih ke atas.

Dia meledak gol pertamanya selepas 17 bulan ketika kemenangan 3-1 di Southampton, beraksi cemerlang ketika kemenangan suku akhir pertama Liga Juara-Juara ke atas Porto dan membantu jaringan Sadio Mane ketika menewaskan Chelsea 2-0 Ahad lalu.

“Mulai sekarang, mana-mana pemain yang masuk ke pejabat saya dan meminta pertukaran posisi, saya akan membenarkannya. Ia menakjubkan,” kata Klopp berjenaka.

“Anda dapat lihat dia cukup bertenaga. Ketika perlawanan menentang Porto, menakjubkan. Jadi tiada masalah. Itu tugas saya, meletakkan pemain di posisi terbaik mereka.

“Dalam tiga perlawanan sebelumnya, dia cukup hebat.” – AFP

2113 dibaca
Berita Harian X