Selasa, 16 April 2019 | 9:13am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

Ujian sebenar Guardiola di Etihad

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City kekal dalam pemburuan bersejarah empat trofi musim ini, tetapi ujian sebenar kemampuan Pep Guardiola sebagai pengendali City akan ditentukan sama ada dia mampu mengatasi defisit 1-0 Tottenham pada aksi timbal balik Liga Juara-Juara esok (awal pagi Khamis).

Anak buah Guardiola berada di landasan terbaik untuk menjadi pasukan pertama dalam tempoh sedekad mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris walaupun Liverpool, juara 18 kali, mengutip mata terbanyak dalam sejarah kelab itu.

City sudah berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Liga dan diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi final Piala FA menentang Watford bulan depan.

Bagaimanapun dengan pengendali sebelum ini, Roberto Mancini dan Manuel Pellegrini sudah memenangi Liga Perdana Inggeris, Guardiola diharapkan dapat merangkul trofi Liga Juara-Juara.

Tewas kepada Spurs yang ketinggalan 16 mata dalam liga dan mempunyai nilai separuh daripada skuad kendalian Guardiola, adalah tamparan hebat buat pengendali dari Catalan itu yang hampir mencatat musim sempurna kali ini.

“Ia cabaran yang bagus buat kami,” kata Guardiola selepas perlawanan pertama. “Kami mempunyai perlawanan kedua.

“Ia kelihatan seperti lebih rumit tetapi setiap hari, setiap jam akan berlalu dan kami akan melihatnya dengan lebih dekat.”

Guardiola mencipta nama dengan menjuarai kejohanan tertinggi Eropah itu sebanyak dua kali sepanjang empat tahun bersama Barcelona, selain 12 trofi lain yang turut diraih.

Tempoh tiga tahun di Bayern juga menghasilkan penguasaan domestik dengan tiga kejuaraan Bundesliga dan dua Piala Jerman, tetapi menyaksikan penyingkiran di separuh akhir Liga Juara-Juara di tangan Real Madrid, Barca dan Atletico Madrid.

Kegagalan mara ke separuh akhir dalam tiga musim pertamanya di City akan meranapkan reputasi Guardiola sebagai pakar Liga Juara-Juara.

Perlawanan menentang Tottenham akan menentukan kemampuan sebenar Guardiola dan City yang dilabel masih “remaja dalam kejohanan ini” oleh pengendali itu. - AFP

1065 dibaca
Berita Harian X