Selasa, 16 April 2019 | 9:11am
Solskjaer tahu bagaimana untuk mengatasi defisit Liga Juara-Juara di Nou Camp. - Foto EPA

Solskjaer imbau memori Nou Camp

LONDON: Manchester United bertandang ke Barcelona hari ini (awal pagi esok) dengan harapan mengulangi kebangkitan Liga Juara-Juara menakjubkan daripada kekalahan 1-0 pada suku akhir pertama di laman sendiri.

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer tahu bagaimana untuk mengatasi defisit Liga Juara-Juara di Nou Camp.

20 tahun selepas menjaringkan gol kemenangan saat akhir untuk United pada final menentang Bayern Munich di sana, Solskjaer akan kembali ke stadium Barcelona itu untuk mengemudi kebangkitan dari luar padang.

United tewas 1-0 kepada Barcelona di Old Trafford minggu lalu, situasi sama pada tahun 1999 apabila Mario Basler meletakkan Bayern di depan seawal minit keenam.

United bangkit dengan dua gol dalam masa kecederaan - yang pertama menerusi Teddy Sheringham dan Solskjaer untuk gol kemenangan.

"Kami pernah menjaringkan gol di Nou Camp sebelum ini, daripada sepakan sudut dan hantaran lintang. Kami boleh melakukannya, itu sudah pasti," kata Solskjaer sejurus selepas kekalahan minggu lalu.

United pernah menewaskan Juventus dan Paris Saint-Germain di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini tetapi menurut Solskjaer, menewaskan Barcelona akan menjadi pencapaian lebih besar.

Kali terakhir United menewaskan Barcelona ialah pada tahun 2008, dengan Paul Scholes menjaringkan gol kemenangan di Old Trafford.

Sejak itu mereka tewas tiga perlawanan terakhir menentang gergasi Catalan itu - termasuk dua kekalahan final pada tahun 2009 dan 2011.

Namun satu statistik yang mampu mencetus harapan United ialah, penyerang Barcelona Lionel Messi, salah seorang pemain terbaik dunia, tidak pernah menjaringkan gol dalam 12 penampilannya di peringkat suku akhir - bermula dari tahun 2013. - AGENSI

987 dibaca
Berita Harian X