Selasa, 16 April 2019 | 9:08am
Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri. - Foto EPA

Allegri tuntut Juve ganda intensiti

TURIN: Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri mahu rentak sama ketika menewaskan Atletico Madrid ditunjukkan apabila berdepan Ajax Amsterdam pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Juventus mengatasi defisit kekalahan 2-0 pada perlawanan pertama dengan kemenangan 3-0 pada aksi timbal balik ke atas Atletico pada pusingan sebelumnya dan, walaupun seri tanpa jaringan sudah cukup kali ini selepas seri 1-1 di Amsterdam minggu lalu, Allegri tidak mahu berasa selesa.

“Keputusan perlawanan pertama tidak bermakna,” kata Allegri yang mahu pasukannya meningkatkan persembahan berbanding di Amsterdam.

“Kami perlu lebih baik dengan hantaran dan perlu tepat tepat dalam membina serangan di mana ia tidak berlaku di Amsterdam, dan kami perlu menghormati Ajax.

“Kami perlu menunjukkan rentak sama ketika menentang Atletico Madrid. Jika kami melakukannya, kami akan mara ke pusingan seterusnya.”

Ajax sudah beraksi tujuh kali di tempat lawan dalam kejohanan berkenaan musim ini, termasuk pusingan kelayakan dan masih belum tewas. Dalam pusingan sebelumnya mereka menang 4-1 di Real Madrid selepas tewas 2-1 di laman sendiri.

Allegri mengesahkan penyerangnya, Mario Mandzukic tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan pertahanan veteran Giorgio Chiellini juga terpaksa direhatkan. - REUTERS 

297 dibaca
Berita Harian X