Selasa, 16 April 2019 | 9:07am
Pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) diasak dua pemain Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Watford. - Foto EPA

Gol tunggal Aubameyang selamatkan Arsenal

LONDON: Arsenal memastikan harapan mereka menamatkan kempen musim ini dalam kelompok empat teratas liga tidak tercicir apabila mengatasi Watford 1-0 ke hasil gol tunggal Pierre-Emerick Aubameyang ketika berdepan tuan rumah yang beraksi 10 pemain pagi tadi.

Kemenangan itu mengubah kedudukan The Gunners yang kembali mendaki ke tangga keempat liga dengan 66 mata terpisah satu mata di belakang penghuni tangga ketiga, Tottenham Hotspur.

Arsenal juga memintas kedudukan Chelsea manakala Watford kekal di tangga ke-10 dengan 46 mata.

Pengurus Arsenal, Unai Emery gembira dengan kemenangan pertama dicapai di gelanggang lawan itu.

"Kemenangan ini sangat penting, perlawanan ini memberi kami banyak maklumat, " katanya kepada BBC. 

Corak pantas yang diamalkan kedua-dua pasukan sejak awal babak pertama menyaksikan Aubameyang telebih dahulu mencuba ke arah gawang lawan pada minit ke-10 sebelum penyerang Watford, Troy Deeney dilayangkan kad merah seminit selepas itu selepas didapati menyiku Lucas Torreira.

Jaringan itu berpunca kesilapan penjaga gol tuan rumah, Ben Foster yang lambat mengeluarkan hantaran ke belakang Daryl Janmaa membolehkan Aubameyang meluru dan terus melakukan rembatan.

Foster jelas merah padam dengan kesilapan berkenaan.

"Saya minta maaf kepada rakan. Saya cuba untuk menolak bola ke sebelah kiri sebelum Aubameyang menewaskan saya. ia sangat pantas,” katanya.

Meskipun ketinggalan, Watford berjaya memberikan tekanan untuk memburu gol penyamaan dan hampir beroleh dua peluang namun ketangkasan penjaga gol Gunners, Bernd Leno menafikan semua asakan berkenaan.

Tuan rumah sekali lagi hampa di minit ke-80 apabila Andre Gray gagal menepati sasaran biarpun pemain gantian Arsenal, Ainsley Maitland-Niles tergelincir selepas Reno tertewas.

Aubameyang, Alex Iwobi dan Henrikh Mkhitaryan turut berpeluang menambah jaringan namun dihampakan dengan penyudah kurang berkesan selepas pemain Watford berkubu di kawasan mereka.

Pengurus Watford, Javi Gracia bagaimanapun memuji anak buahnya yang mampu bertahan dengan 10 pemain sepanjang perlawanan.

"Kami melakukan segala-galanya untuk menang aksi ini. Kami tidak mendapat sebarang mata, tetapi kami beraksi dengan baik. Perlawanan ini menjadi amat sukar dengan 10 pemain,” katanya. - Reuters

900 dibaca
Berita Harian X