Isnin, 15 April 2019 | 9:06pm
Alexis Sanchez. - Foto AFP

Man Utd senarai Sanchez di Nou Camp?

LONDON: Penyerang Manchester United, Alexis Sanchez mungkin membuat kemunculan semula bagi aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Barcelona selepas turut menyertai pasukan itu melakukan kunjungan ke Sepanyol.

Pemain kelahiran Chile berusia 30 tahun itu, yang meledak 47 gol dalam 141 penampilan bersama Barca pada musim 2011 hingga 2014 tersisih selama enam minggu susulan kecederaan lutut.

Begitupun, pengurus United Ole Gunnar Solskjaer mungkin menggunakan khidmatnya selepas Red Devils gagal melakukan sebarang cubaan tepat ke gawang ketika tewas 1-0 oada aksi pertama di Old Trafford, minggu lalu.

Sanchez bergelut untuk memperoleh prestasi terbaik seperti yang dipamerkan bersama Arsenal sejak perpindahannya ke United pada Januari 2018 susulan kecederaan dan kemerosotan prestasi.

Sepanjang 31 penampilannya bersama United musim ini, dia hanya meledak empat gol.

Turut berada dalam senarai 22 pemain yang membuat kunjungan ke Barcelona adalah pemain tengah, Nemanja Matic dan pertahanan Matteo Darmian tetapi Ander Herrera dan Eric Bailly ditinggalkan. - AFP

1383 dibaca
Berita Harian X